Wednesday, April 11, 2012

PKR: Hapuskan Pinjam PTPTN. Gantinya...

PKR akhirnya membentangkan kaedah untuk menghapuskan pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijanjikannya, antaranya dengan memperkenalkan pelaburan tetap hasil minyak yang dikawal Petronas sebanyak RM2 bilion setahun.

Pengarah strateginya Rafizi Ramli berkata, jika perkara itu dapat dilakukan, pinjaman sedia ada berjumlah RM24.7 bilion kepada mahasiswa dapat dilupuskan dalam tempoh 15 tahun.

“Selama ini wang Petronas digunakan untuk membayar itu dan ini. Kalau di tempat lain sudah ada tabung khusus untuk dilaburkan untuk pendidikan,” katanya sambil berkata peruntukan undang-undang perlu diperkenalkan bagi tujuan itu.

Bercakap dalam sesi runding cara dengan sekumpulan mahasiswa di Shah Alam malam tadi, Rafizi berkata, apabila Pakatan Rakyat membuat janji itu, ia bukan bermakna ia akan dibayar sekali gus.

“Pinjaman yang dibuat oleh PTPTN pun menetapkan jadual pembayaran mengikut masa tertentu kepada institusi kewangan,” kata pegawai kanan di pejabat ekonomi Selangor itu.

Sementara itu, menurut Razifi, kerajaan juga boleh menerbitkan bon yang lebih panjang tempoh pembayarannya atau menggunakan langkah terakhir dengan membuat pembiayaan semula.

“Beli kereta pun boleh refinance. Ini biasa dalam kewangan, semua hutang boleh refinance paling kurang untuk tempoh sepuluh tahun,” katanya lagi.

'Najib bohong angka RM43 bilion'

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa PTPTN tidak boleh dimansuh kerana kerajaan perlu RM43 bilion, Razifi menyifatkannya sebagai pembohongan. Rafizi berkata, angka yang disebut perdana menteri mungkin merujuk kepada jumlah kelulusan pinjaman dan tidak melambangkan nilai pinjaman sebenar.

Dakwanya, setelah menyemak dengan rekod PTPTN sendiri, jumlah pinjaman yang dibayar (termasuk anggaran pada 2011) hanya RM27.5 bilion. Justeru, tambahnya, jika ditolak dengan pembayaran yang sudah dikutip, hutang yang perlu ditanggung kerajaan hanya RM24.7 bilion.

“Kalau kerajaan tidak mahu maafkan RM24.7 bilion ini, memang betul-betul jahatlah. (Wang negara) lebih daripada cukup,” katanya dengan mengaitkan dengan tindakan 'penyelamatan' Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (Mex).

Tindakan itu, tambah Rafizi masih belum mengambil kira ketirisan yang mungkin berlaku akibat amalan rasuah yang boleh mencecah angka RM40 bilion menurut pakar ekonomi. “Hari ini saya tidak sebut langsung soal ketirisan. Dalam ketirisan sekali pun kita masih boleh hapuskan PTPTN,” katanya lagi.

Model pembiayaan masa depan

Untuk pembiayaan pendidikan masa depan pula, Rafizi antaranya mencadangkan:
  • Kembali kepada amalan sebelum 1996 apabila kerajaan menyediakan sepenuhnya pendidikan tinggi
  • dan tidak bergantung kepada pihak swasta bagi mengurangkan kos pengajian.
  • Membina sepuluh buah institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam tempoh sepuluh tahun, dengan sasaran 100,000 tempat, dengan perbelanjaan – termasuk yuran dan tempat tinggal – ditanggung kerajaan.
  • Menyediakan tabung pendidikan baru untuk penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan perbelanjaan sara hidup yang memerlukan pembiayaan lebih kecil.
  • Menggalakkan penggabungan IPTS untuk mengurangkan penggunaan pinjaman yang sekali gus boleh meningkatkan daya saingnya dengan IPTA, termasuk dengan pengurangan yuran dan kos pengajian.

(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails