Thursday, April 12, 2012

22 Rumah Di Parlimen Najib Terbengkalai 3 Tahun

PEKAN, 12 April 12: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menyelesaikan segera masalah pembinaan perumahan Taman Rendang Azalea Fasa Dua di sini yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu mengakibatkan 22 orang pembelinya yang rata-rata pengundi di parlimen ini, teraniaya.

Pengerusi NGO Majlis Tindakan Rakyat Pahang (MTRP) Syed Ali Badarudddin berkata, perumahan yang terletak hanya 150 meter daripada kediaman rasmi Najib itu di sini, patut mendapat campur tangan Najib selaku Ahli Parlimen Pekan kerana pembeli sudah menyelesaikan 80 % bayaran.

"Masalah ini perlu di selesaikan Najib tak kiralah dengan apa cara walaupun sesetengah pihak melihatnya masalah kecil tetapi sangat besar kepada penduduk.

"Jika Najib boleh selesaikan pelbagai masalah di tempat-tempat lain serata Malaysia, takkan tak boleh selesaikan masalah perumahan terbengkalai yang hanya beberapa meter dari rumahnya.

"Dengan slogan rakyat didahulukan apa lagi menghampiri pilihan raya sekarang, saya rasa inilah waktu yang sesuai untuk Najib selesaikan masalah mereka," katanya.

Syed Ali yang baru mengadakan dialog dengan penduduk berkata, pembeli-pembeli rumah berkenaan begitu kecewa dengan tindakan pemaju yang mula lepas tangan selepas gagal menyiapkan 22 rumah mengikut waktu dijanjikan iaitu pada tahun 2009 sedangkan pembayaran sudah lama dilakukan setiap bulan.

Tambahnya, pernah wakil pembeli bertemu dengan pemaju (Exact Management Sdn Bhd) dan mereka berdolak-dalik untuk menyempurnakan pembinaan rumah berharga RM178,000 hingga RM250,000 itu pada Disember lepas sebelum dilanjutkan sehingga Januari kemudian selewatnya Mei ini.

“Namun penduduk mengadu tiada sebarang tindakan susulan sedangkan bayaran secara potongan gaji mengikut persetujuan ketika proses jual beli terus berjalan dan sudah menjangkau 82%.

“Ketika lawatan ke perumahan terbengkalai itu mendapati sudah dijadikan tempat menjalankan aktiviti tidak sihat seperti melepaskan keketagihan dadah tempat maksiat dan pemujaan nombor ekor. Selain itu, banyak penutup besi telah dicabut dan dicuri,” jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan pembeli perumahan yang terletak di GM 1401 Lot PT12888 – 12689 itu ialah pensyarah universiti, guru dan kakitangan kerajaan daerah itu yang semuanya Melayu.

Syed Ali berkata, pembeli memberitahu sudah mengadukan masalah yang mereka hadapi itu kepada Najib melalui Setiausaha Politiknya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di situ namun tidak ada respons positif yang diberikan setakat ini.

“Ada pembeli berkata pejabat pemaju di Kuantan sudah ditutup. Jadi jika Najib sendiri yang campur tangan mungkin boleh selesai tak kiralah melalui Syarikat Perumahan Negara atau lain-lain cara.

“Yang penting pengundi Pekan yang menjadi mangsa itu perlu diselesaikan. Bayangkan wang beli rumah sudah dibayar tetapi tak boleh duduk tapi sewa rumah kena bayar lagi, teruk dalam keadaan kos kehidupan dan barang yang tinggi melambung sekarang.

“Takkan Najib rela melihat nasib perumahan terbengkalai yang mencacatkan pemandangan itu, apa lagi berada tidak berapa jauh dari istana Sultan Pahang,” katanya.

Tegasnya, jika Najib boleh berjanji dan menyelesaikan banyak masalah di negeri-negeri Pakatan Rakyat, apa salahnya berusaha menyelesaikan masalah pengundi-pengundi berhampiran rumahnya sendiri. (Hrkh)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tukar saja PM lembab dan tidak prihatin kepada rakyat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails