Tuesday, April 10, 2012

P'raya Perancis, Calon Kempen Di Tv Percuma..

SEORANG wanita berjalan melintasi poster calon-calon yang bertanding pada pilihan raya presiden yang ditampal di laluan pejalan kaki di Paris semalam

PARIS - Kempen pusingan pertama pilihan raya Presiden Perancis pada 22 April ini bermula dengan rasmi semalam dengan calon dibenarkan menampal poster dan berkempen di televisyen secara percuma buat kali pertama.

Namun, kempen tidak rasmi pilihan raya berkenaan sudah dilakukan sejak beberapa minggu lalu dengan Presiden Nicolas Sarkozy berdepan cabaran sengit daripada calon Parti Sosialis, Francois Hollande.

Setakat semalam, semua 10 calon pilihan raya itu dibenarkan menampal poster kempen politik mereka di beberapa tempat yang dibenarkan oleh pihak pentadbiran tempatan.

Poster berkenaan perlu memiliki saiz yang sama dan tidak menggunakan warna putih sebagai latar belakang termasuk sebarang warna yang terdapat pada bendera negara iaitu biru, putih dan merah.

Warna putih dikhaskan untuk pengumuman rasmi berhubung pilihan raya berkenaan.

Stesen televisyen dan radio awam akan dibenarkan menyiarkan aktiviti kempen untuk setiap calon dengan masing-masing diperuntukkan waktu siaran percuma selama 43 minit hingga 20 April ini.

Semua badan penyiaran perlu memperuntukkan waktu siaran yang sama kepada kesemua calon yang mendaftar secara rasmi pada 19 Mac lalu.

Setiap calon pilihan raya itu kini turut dibenarkan berkempen melalui surat kepada sekitar 45 juta pengundi berdaftar di Perancis.

Kempen pilihan raya tersebut berakhir dengan rasmi pada 21 April ini dengan semua calon dilarang daripada membuat ucapan awam dan tiada tinjauan mengenai kedudukan calon dibenar untuk disiarkan.

Antara calon yang bertanding dalam pilihan raya presiden kali ini selain Sarkozy dan Hollande ialah calon parti Barisan Kebangsaan, Jean-Luc Melenchon. - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pilihan raya Perancis, calon kempen di tv percuma. Di Malaysia, pembangkang jangan harap!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails