Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi sekarang menunjukkan kedudukan blok pembangkang semakin mengecil, manakala blok kerajaan pula semakin melebar sehingga mungkin membentuk majoriti dua pertiga di Parlimen.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memilih untuk bersama Pas dalam blok parti Melayu tersebut buat masa ini.
"Sekarang timbul kebimbangan orang Melayu apabila institusi-institusi agama diserang dan pelbagai isu melibatkan agama. Kita sudah mula fikir perlunya muafakat antara parti Melayu Islam dan saya fikir parti-parti ini perlu duduk bersama berbincang paling tidak pun untuk mempertahan hak sedia ada.
"Keadaan bagaimanapun belum stabil. Buat masa ini, saya fikir Bersatu akan terus berada dalam Pakatan Harapan (PH)," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kemungkinan parti-parti Melayu termasuk Bersatu akan bersama dalam satu blok yang sama, sekali gus berupaya membentuk kerajaan pada masa depan.
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim mengakui terdapat dua Ahli Parlimen Pas yang dikatakan menghadiri makan malam dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam kelmarin.
Tanpa menamakan dua wakil rakyat tersebut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pertemuan itu dan butir perbincangannya namun menyifatkan ia sebagai perkara biasa.
"Saya sendiri beberapa kali jumpa Tun atas sifat dia sebagai ketua kerajaan. Bagi saya makan malam itu perkara biasa cuma dalam situasi kini, orang akan buat pelbagai andaian," katanya. - UTUSAN ONLINE