Thursday, October 09, 2014

Al-hamdulillah, S'gor Tak Jadi Mabuk Arak Berpesta...


















ALINAH (tiga dari kiri) menerima memorandum bantahan pesta arak daripada Nasrudin yang mewakili Dewan Ulama Pas Pusat di Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA – Kecaman dan tekanan yang diberikan oleh pelbagai pihak menyebabkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam akhirnya bertindak menolak permohonan permit penganjuran pesta mabuk arak Oktoberfest yang dijadualkan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini di ruang letak kereta pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama di sini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ memang ada menerima permohonan daripada pihak penganjur untuk mengadakan pesta tersebut, tetapi ia ditolak kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

“Pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta arak Oktoberfest.
“Walaupun pihak penganjur ada menghantar permohonan kepada kami, tetapi ia tidak diluluskan atas beberapa alasan seperti tidak mendapat kebenaran pihak polis dan dibuat di kawasan terbuka.
“Kami tidak akan sesekali mengeluarkan permit kepada penganjur sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi,” ujar beliau ketika menerima memorandum bantahan daripada tiga Ahli Parlimen Pas yang mewakili Dewan Ulama Pas Pusat di sini semalam. (Kosmo!)

Sebelum ini...

Oktoberfest: Syiar mungkar yang mesti dibantah
Oleh DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI 

1. Mengambil minuman memabukkan adalah punca kepada kerosakan akal dan jasad. Seterusnya kerosakan akhlak dan moral boleh berlaku apabila akal manusia hilang disebabkan minuman yang memabukkan. Justeru, arak dan minuman memabukkan disebut sebagai "ummu al-khaba'ith" (أم الخبائث) ibu dan induk segala perkara yang keji dan jijik kerana ianya merosakkan kehidupan bermasyarakat.

2. Statistik berikut menjelaskan kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan:

A. Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alkohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.

B. Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6% mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.

C. Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan kepada alkohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.

D. Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alcohol adalah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.

E. 48% daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alcohol.

F. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3% kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alkohol manakala 4.5% kes penderaan kanak-kanak.

G. Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.

H. Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan dari perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

I. Menurut satu statistik di UK, alcohol telah menyebabkan 45-46% kejadian jenayah, melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga.

3. Lantaran itu Islam menegaskan arak dan minuman memabukkan adalah najis merupakan sebahagian amalan syaitan yang boleh membawa kepada permusuhan di kalangan manusia. Allah berfirman;
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ( 90 ) إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ ( 91
  • Maksudnya; "Wahai orang-orang beriman; arak, judi, patung berhala dan bertenung nasib adalah sebenar-benar najis yang merupakan sebahagian amalan syaitan maka hendaklah kamu semua menjauhinya mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan (al-falah). Syaitan itu hanya ingin menjatuhkan di kalangan kamu permusuhan dan kebencian menerusi arak dan judi dan memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada solat. Tidakkah kamu boleh berhenti!!!". (Surah al-Maidah ayat 90-91)
4. Bukan sahaja arak dan minuman memabukkan adalah najis malah umat Islam perlu membenci perlakuan tersebut berlaku dan tidak meredhainya serta mengganggapnya sebagai kemungkaran yang mesti dihalang dan dicegah daripada menjadi sebahagian syiar kehidupan bermasyarakat dalam sesebuah negara.

5. Meskipun Islam membenarkan bukan Islam mengambil minuman memabukkan, membeli dan menjualnya tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa Islam sebagaimana ijmak Ulamak yang dinukilkan oleh Imam al-Tahawi, namun ia tidak boleh menjadi syiar yang dipromosi secara terbuka menerusi iklan dan pesta besar-besaran. Syarat ini telah ditegaskan oleh para ulamak Islam sejak dahulu.

6. Antara fatwa Darul Ifta Mesir oleh Mufti Mesir Syeikh Abdul Majid Salim bertarikh 12 April 1939/1358H ialah tidak boleh bukan Islam menjual arak secara terbuka kerana menjualnya secara terbuka adalah satu maksiat dan kefasikan yang perlu ditegah. Mereka boleh menjual sesama mereka secara tidak terbuka.

7. Sekiranya menjualnya secara terbuka pun tidak dibolehkan apatah lagi mengadakan pesta arak secara terbuka dengan pelbagai promosi dan iklan terbuka.

8. Menurut fatwa Mufti Mesir Syeikh Allam Nassar (1891-1966) sebagaimana dinukilkan oleh Dandil Jabr dalam tulisan beliau bertajuk "hak-hak peribadi bukan dalam masyarakat Islam", bukan Islam mempunyai hak kebebasan untuk makan dan minum makanan yang halal bagi mereka walaupun haram bagi orang Islam dengan syarat tidak menyentuh dan mencabar sentimen umat Islam atau membawa kepada fitnah dan kerosakan masyarakat. Jika ianya berlaku maka menjadi kewajipan kepada kerajaan masuk campur bagi menghalang tersebar dan berleluasanya kerosakan yang boleh menghancurkan masyarakat. Campur tangan kerajaan ketika itu termasuk kategori "sadd zara'i'" (menutup lubang-lubang kerosakan). Sebagaimana kerajaan di zaman moden ini campur tangan untuk menghalang tersebarnya wabak kerosakan seperti dadah dan seumpamanya. (Fatawa Islam Jilid VII No 1057 - Mufti Syeikh Allam Nassar) (rujuk www.odabasham.net/show.php?sid=77421)

9. Oleh itu, penganjuran pesta arak seumpama Oktoberfest sehingga menjadi syiar yang dibangga-banggakan dalam sebuah negara seperti Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dengan majoriti penduduknya beragama Islam perlu dihalang dan tidak boleh dibenarkan.

10. Menjadi kewajipan kepada Datuk Menteri Besar Selangor sebagai seorang muslim dan pihak berkuasa tempatan untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk pesta tersebut diadakan. Serta menjadi kewajipan kepada setiap muslim sama ada rakyat biasa mahupun pemimpin membantah penganjuran pesta mungkar tersebut.

11.Syaitan sentiasa berperanan melakukan "tazyiin" dan "talbis". "Tazyiin" bermaksud menghiasi yang mungkar lalu dilihat sebagai bukan mungkar. "Talbis" pula ialah memakaikan kemungkaran pakaian kebenaran.

12. Antaranya Syaitan berperanan menghiasi kemungkaran minum arak secara terbuka sehingga dilihat boleh dan harus bagi bukan Islam lalu ia dibiarkan tanpa bantahan.

13. Maka janganlah ada di kalangan umat Islam atau pemimpin umat Islam yang dihiasi oleh Syaitan lalu membenarkan pesta arak Oktoberfest dilakukan dengan hujah ianya hak bagi bukan Islam.

14. Ketahuilah hak mereka ialah mengambil minuman memabukkan tetapi bukan hak mereka berpesta dengan minuman memabukkan secara terbuka di sebuah negara majoriti umat Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
8 Oktober 2014/13 Zulhijjah 1435  

Oktoberfest: Saya amat kesal agenda Carlsberg
Oleh AHMAD YUNUS HAIRI 

SEBAGAI Exco yang menerima amanah dari kerajaan negeri dengan ini merasa amat menyesali dengan agenda besar Carlsberg Malaysia dalam penganjuran Oktoberfest di beberapa tempat di negeri Selangor dan Grand Finalenya di 1 Utama yang disifatkan sebagai gagal memahami sensitif agama di Malaysia khususnya Agama Islam di Negeri Selangor.

Ibnu Tarmizi dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak,
1) yang memerasnya (memerahnya)
2) yang minta diperaskannya
3) yang meminum
4) yang membawa
5) yang minta dihantari
6) yang menuangkannya
7) yang menjual
8) yang makan harganya
9) yang membeli
10) yang meminta dibeli.”

Jelas, apa sahaja perkara yang berkaitan dengan arak hukumnya adalah haram dan dilaknat oleh Allah s.w.t. Tapi mengapa kini ramai yang masih mahu ‘bertarik tali’ dengan hukum pengharaman arak?

Saya mengharapkan supaya pihak penganjur perlu sedar mengenai sensitiviti beragama di negeri ini terutamanya penganut Agama Islam, yang juga merupakan agama rasmi Persekutuan sebelum mengadakan sesuatu yang boleh menggugat ketenteraman dan keamanan awam.

Islam tidak menghalang bagi yang bukan beragama Islam meminum minuman keras (arak) kerana ianya merupakan hak orang bukan Islam tetapi ianya juga perlu mengambil kira batasan beragama dan tatasusila kehidupan dalam masyarakat, contohnya seperti menguar-uarkan secara terbuka seperti iklan di pasar raya dan billboard dan sebagainya dilihat seolah-olah seperti satu promosi besar-besaran.

Kekhuatiran saya adalah ianya akan mempengaruhi masyarakat yang beragama Islam yang mana arak dikenal pasti punca segala masalah sosial, jenayah dan penyakit kesihatan.
Mekah 8 Oktober 2014 
Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor.
 
Siapa dalang di sebalik Oktoberfest

KUALA LUMPUR: Pesta arak Oktoberfest yang berlangsung di negara kita adalah pengkhianatan terhadap sosio budaya dan nilai tatasusila beragama di negara kita.

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengakui bahawa orang bukan Islam mempunyai hak yang diperuntukkan untuk meminum arak namun dalam ruang lingkup yang dibenarkan.

Pemangku Ketua DUPP, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, arak boleh diminum oleh mereka bahkan Islam tidak pernah menyekat untuk mereka menikmati arak sebagaimana makanan yang lain.

Namun, jelasnya Islam amat bertegas dalam prinsip dan tidak membiarkan penularan gejala-gejala keruntuhan sosial berlaku.

"Pesta arak ini banyak aspek buruknya iaitu ia akan menjadikan arak ini bahan promosi dan kita bimbang ada dalam kalangan umat Islam yang terlibat sama," tulis beliau menerusi facebook.

Tegasnya, umat Islam diharamkan sama sekali untuk terlibat dengan pesta itu, bukan setakat menghadiri dan meminum arak akan tetapi dengan menjadi orang tengah yang mempromosi Oktoberfest pun sudah haram.

Justeru, katanya DUPP amat kesal di atas penganjuran yang beliau difahamkan pihak kerajaan Selangor sendiri tidak pernah meluluskan penganjuran Oktoberfest.

"Syarikat Carlsberg mesti memohon maaf secara terbuka jika tidak pihak kerajaan Selangor mesti mengambil tindakan tegas di atas sikap mencemarkan sensitiviti umat Islam yang pada ketika ini umat Islam sedang meraikan sambutan hari raya Aidiladha," ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Tambahnya, DUPP juga menuntut kepada kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyiasat penganjuran pesta ini dan mencari dalang siapa yang sebenarnya terlibat dalam perkara ini sehingga boleh tersebar sebagai festival arak.

Sehubungan itu, DUPP berharap umat Islam tidak terlibat sama dalam perkara ini dan kepada orang bukan Islam agar mereka faham bahawa lunas-lunas keagamaan dalam semua agama tidak membenarkan penularan gejala yang tidak baik dalam masyarakat melalui arak yang memabukkan itu. - HARAKAHDAILY 8/10/2014

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, Selangor tak jadi mabuk berpesta. Berkat adanya PAS?..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails