RAMADAN disambut gembira oleh Rasulullah S.A.W sehingga ketibaannya diucapkan selamat datang, kerana bulan ini dijemput menjadi tetamu Allah. Firman-Nya:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥)
- “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam keadaan musafir, maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana kamu mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”(al-Baqarah: 185)
Allah menghidangkan di Bulan Ramadan kepada hamba-Nya yang beriman makanan roh dan jasad. Dua aspek dalam diri manusia yang membezakan mereka dengan makhluk lain, sehingga ditugaskan beribadat kepada Allah, memakmurkan bumi (khilafah) dan menunaikan amanah (melaksanakan hukum Allah). Tugas yang tidak boleh dilakukan oleh para malaikat yang berada di alam rohani dan haiwan yang berjasad tanpa akal yang menjadi sebahagian daripada aspek rohani.
dat puasa dan ibadat lain dijanjikan fadilat berlipat ganda di Bulan Ramadan, adalah hidangan makanan rohani yang mencipta sifat takwa yang menentukan martabat kemuliaan manusia di sisi Allah. Firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ( ١٨٣)
- “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (١٣)
- “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (asalnya) dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (dan berkenal mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)
Kesediaan menunaikan ibadat puasa dengan ikhlas sehingga meninggalkan perkara yang membatalkan puasa, seperti makan dan minum serta kemahuan jasad mengikut nafsu yang dihalalkan pada bulan yang lain walaupun menjadi rukun kehidupan adalah tarbiyah jati diri yang taat dan ikhlas kepada Allah yang menjadikan konsep takwa sama ada menunaikan yang wajib atau meninggalkan yang haram, serta melakukan perkara yang tidak wajib dan tidak haram mengikut sempadan Allah berkonsepkan Ubudiyyah.
Ibadat puasa itu banyak kadar pahalanya dalam ilmu Allah, tidak digandakan sekurang-kurangnya 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda seperti ibadat yang lain. Kalau ditinggalkan tanpa keuzuran, puasa Qada hanya denda yang wajib, namun pahala satu hari puasa tidak mampu diganti oleh puasa selama-lamanya. Digandakan juga pahala ibadat yang lain pada Bulan Ramadan. Dikurniakan pula dengan satu malam yang dinamakan Lailah Al-Qadar, apa sahaja ibadat yang dilakukan bertepatannya lebih baik daripada 1000 bulan.
Bulan Ramadan juga menjadi pilihan al-Quran diturunkan ke alam dunia. Al-Quran itu kitab suci umat Islam di akhir zaman. Kalam Allah, mukjizat ilmu kepada Rasul Akhir Zaman S.A.W dan kepada umatnya menjadi petunjuk dalam semua perjalanan kehidupannya, bersendiri, berkeluarga dan bermasyarakat, sehingga melibatkan politik, ekonomi dan sosial, di peringkat negara sehinggalah antarabangsa dan negara.
Al-Quran bukannya buku cerita atau laporan kegiatan alam semesta, walaupun di dalamnya disebut perkara ini, bahkan tujuannya menjadi dalil ketuhanan Allah yang Maha Esa, Kesempurnaannya yang tiada bandingan dan tandingan. Seluruh alam adalah ciptaan-Nya, dalam masa yang sama di bawah pemerintahan-Nya. Perlembagaan-Nya dan Undang-undang-Nya menguasai seluruh alam semesta. Alam nyata dan ghaib, alam dunia dan akhirat. Maka alam dunia dan semua negara dan makhluk-Nya adalah segelintir yang kecil di bawah Kerajaan Allah.
Al-Quran adalah kitab suci kepada umat manusia di akhir zaman ini. Bulan Ramadan yang dipilih al-Quran diturunkan ke alam dunia bersama diwajibkan berpuasa meninggalkan makan, minum dan hawa nafsu yang menjadi rukun hidup, menunjukkan betapa al-Quran itu wajib diimani dan dihayati oleh manusia. Hanya mereka yang bertakwa menerima al-Quran menjadi petunjuk. Firman Allah S.W.T:
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ (٢)
- “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa” (al-Baqarah: 2)
Allah yang mencipta manusia menetapkan juga keperluan jasadnya, maka tidak diwajibkan berpuasa sepanjang hari dan malam atau sepanjang hayatnya, hanya siang hari di Bulan Ramadan. Maka diizinkan berbuka selepas berpuasa dan bersahur menjadi persediaan untuk berlapar di siang hari. Upacara makan dan minumnya di masa bersahur dan berbuka itu diberi keberkatan dan pahala, yang berbeza dengan keadaan biasa.
Waktu berpuasa dan berbuka pula mendidik sifat sabar dan syukur dalam sifat bersendirian, berkeluarga dan bermasyarakat, kerana orang yang tidak pernah lapar dan haus tidak mengerti sifat syukur dan sabar. Maka puasa Ramadan bukan sahaja membina jati diri untuk diri seseorang, bahkan menjalinkan hubungan kemasyarakatan yang berkebajikan di antara kalangan mereka yang senang berada dengan kalangan yang menderita kesusahan hidup. Maka digalakkan bersedekah dan berjamu berbuka puasa yang menjalinkan hubungan di antara satu sama lain. Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W sangat pemurah di Bulan Ramadan, bukan sahaja kuat ibadatnya.
Kalaulah Ramadan diambil peluang menerima hidangan Allah, maka selamat dunia dan akhirat, kerana bersama petunjuk Allah secara amali. Meninggalkan petunjuk Allah yang bernama Islam menyebabkan bencana kehidupan manusia sepanjang zaman sehingga terkini. Firman Allah S.W.T:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤١)
- “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (ar-Rum: 41)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Ramadan 1439 / 21 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 21/5/2018
No comments:
Post a Comment