Wednesday, May 23, 2018

Palestin Gesa ICC Siasat Segera Jenayah Perang Israel.




THE HAGUE: Menteri Luar Palestin semalam menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di sini, membuka siasatan segera terhadap dakwaan jenayah perang dan aparteid dilakukan ke atas penduduknya.
Di tengah ketegangan dengan Israel, menteri itu, Riyad al-Maliki bertemu selama sejam dengan ketua pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda di tribunal itu di sini, untuk merujuk situasi di Palestin kepada pejabat beliau.




Katanya, ia adalah satu langkah penting dan bersejarah buat penduduk Palestin yang menderita selama bergenerasi akibat jenayah dilakukan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa Zionis.
ICC melancarkan satu siasatan awal pada 2015 terhadap dakwaan jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan dalam Israel dan wilayah Palestin susulan perang Gaza.
Walaupun lawatan ke wilayah itu, tribunal berkenaan belum melangkah ke peringkat seterusnya iaitu membuka siasatan penuh, yang mungkin menjurus dakwaan utama dikemukakan.
Bensouda bagaimanapun berkata dalam satu kenyataan, ia sudah membuat perkembangan penting.
Maliki menegaskan, ada bukti 'yang terlalu besar untuk ditangani' berhubung jenayah itu, menambah pihak yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka tanpa bertangguh lagi.
Pertemuan di ICC itu berlaku selepas lebih 60 penduduk Palestin maut minggu lalu ketika membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) memindahkan misinya dari Tel Aviv ke bandar bertelingkah di Baitulmaqdis.
Maliki berkata, langkah Palestin itu disebabkan 'peningkatan kadar dan keterukan jenayah terhadap penduduk Palestin' termasuk menyasar penunjuk perasaan tidak bersenjata di Semenanjung Gaza.
Palestin juga mengetengahkan isu penempatan, menganggapnya 'ancaman tunggal paling berbahaya terhadap kehidupan dan kelangsungan hidup rakyatnya.'
"Israel mengekalkan, meluaskan dan melindungi penempatan rejim dengan melakukan jenayah perang, jenayah ke atas kemanusiaan dan jenayah aparteid ke atas rakyat Palestin," tambah kenyataan itu.
Di tengah kontroversi, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyertai ICC pada Januari 2015 dengan menandatangani Rome Statute, yang mengendalikan satu-satunya mahkamah jenayah perang kekal di dunia. -AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails