Monday, April 07, 2014

Jadikan Hudud K'tan Sebagai Penyatu Umat -ISMA




Hasrat kerajaan negeri Kelantan melaksanakan hukum Islam di negeri itu perlu dijadikan permulaan "penyatuan umat Islam" di negara ini oleh Umno, kata Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahaya (gambar) berkata, Umno perlu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka serius inginkan Islam dengan menyokong rang undang-undang yang dikemukakan PAS negeri Kelantan.
“Jika tidak, Umno akan dianggap parti yang hanya sekadar retorik dan mempersendakan Islam demi politik.

“Bahkan lebih daripada itu, Umno juga dianggap tidak akan lagi relevan kepada orang Melayu,” katanya dipetik kenyataan di laman web pertubuhan bukan kerajaan itu, di Kuala Lumpur.

Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini dilaporkan berkata, akan rang undang-undang persendirian berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Kelantan 1993 di Parlimen.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, pihaknya kini membuat persiapan dan akan memilih sesi yang sesuai di Parlimen untuk mengemukakan rang undang-undang tersebut  bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan hukuman itu sebagaimana diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Aminuddin berkata, Isma menyokong penuh cadangan kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud.

“Ini sangat sesuai dengan matlamat perjuangan Islam PAS dan mengharapkan ia langkah awal kepada pelaksanaan Islam sepenuhnya di negara ini,” katanya.

Beliau turut berharap, tindakan yang dilakukan Kelantan itu akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. Beliau berkata, langkah itu  menjadi cabaran kepada kerajan Kelantan untuk memastikan perundangan Islam benar-benar membawa perubahan kepada seluruh kehidupan masyarakat. – 7 April, 2014. (TMI)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails