
KL 15 Mac 12: Seorang usahawan mempersoalkan tindakan Lembaga Tabung Haji yang didakwa telah menganiaya usahawan bumiputera dengan menganugerahkan satu projek kepada satu syarikat milik bukan Islam.
Pengarah urusan  syarikat milik bumiputera itu, Abu Bakar Hasan mendakwa projek untuk membangunkan sistem giliran beratur untuk urusan kaunter itu pada  asalnya telah dianugerahkan kepada salah satu anak syarikat Tabung Haji,  Tetha Edge Berhad.
Namun, Tetha Edge sendiri tidak membangunkan  projek itu tetapi telah menganugerahkannya pula satu syarikat bukan  Islam, dakwanya.
Abu  Bakar mendakwa, tindakan berkenaan merupakan perbuatan yang  menganaktirikan syarikat milik orang Islam, sedangkan syarikat beliau  sendiri, Virtual Softnet Solutions Sdn Bhd mampu menjalankan projek  tersebut.
"Mengapakah syarikat TH yang mengumpul dana dari  pendeposit Islam, menganaktirikan syarikat Islam, sedangkan ini adalah  keperluan fardhu kifayah?" kata Abu Bakar dalam sidang media bersama  Persatuan Pengguna Islam Malaysia semalam.
Abu Bakar berkata,  syarikatnya Virtual Softnet Solutions Sdn Bhd juga "teraniaya" dan  mengalami kerugian "beratus ribu ringgi" apabila tender itu tidak  diperolehinya.
Beliau menjelaskan, Virtual Softnet "secara  logiknya" patut menerima kontrak tersebut memandangkan syarikat  berkenaan telah ditawarkan oleh TH untuk menjalankan satu projek  perintis yang berkaitan dengan projek yang dipertikaikan itu.
Beliau  mendakwa pihaknya telah diberikan "harapan yang salah" dan syarikat itu  juga telah menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menumpukan  kepada projek perintis itu.
Syarikat itu juga mengalami kerugian  beratus-ratus ribu ringgit kerana tidak dapat menumpukan kepada peluang  di tempat lain dan hanya menumpukan projek perintis itu sahaja,  dakwanya.
"Logiknya (tender) itu diberikan kepada kami... Tender  mahukan (syarat) kepada syarikat yang mengeluar sistem bagi melayakkan  (untuk peroleh tender).
"Kami rasa teraniaya sebab enam bulan  kami disuruh buat segala-galanya terhadap projek itu. Akhirnya ia  diberikan kepada orang lain," katanya. 
Abu Bakar mendakwa  pihaknya menawarkan harga "paling murah", sebanyak RM2.3 juta dan berada  dalam senarai tiga teratas, berbanding Tetha Edge yang menawarkan  sebanyak RM2.4 juta selepas tender tersebut dibuka pada Oktober tahun  lalu.
Abu Bakar menjawab beliau pernah bertemu dan mengadu kepada  Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismi Ismail berhubung perkara itu  pada pertengahan bulan lalu.
Bagaimanapun, Abu Bakar berkata pegawai berkenaan berkata "tidak boleh nak tolong" syarikat berkenaan.
Sementara,  dalam sidang medianya di ibu negara semalam, Abu Bakar berkata pihaknya  membuat aduan kepada kepada PPIM berhubung pemberian tender projek  sistem itu di 120 buah cawangan Tabung Haji di seluruh negara.
Manakala  Pengurus Besar Komunikasi Korporat Tabung Haji, Anis Zuhani Ahmad,  ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung  perkara tersebut secepat mungkin. (Mk)
 
 

1 comment:
Sungguh memalukan bila Tabung Haji sendiri boleh diperkudakan oleh orang bukan Islam.
Lebih menyedihkan selepas peristiwa ERL yang sepatutunya dibangunkan dan diuruskan oleh Tabung Haji dijual bersama oleh Abrar Group dan Tabung Haji kepada YTL. Sapa lagi kita boleh harap dari kalangan umat Islam di Malaysia ini?
Post a Comment