Monday, September 24, 2007

Antara Masjid Negara KL & Masjid Huai Sheng China..



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI


PADA zaman dahulu, menara azan di masjid juga memainkan peranan penting dalam kehidupan harian manusia. Tidak kira apa juga agama, bangsa dan dari mana asal negara mereka, yang penting ianya perlu sebagai isyarat dan panduan bagi kapal yang belayar di lautan. Di situ, dikibarkan bendera di bawah sinaran matahari dan digantung lampu di bawah sinaran bulan. Anak-anak kapal yang belayar di laut bila melihatnya, sedarlah mereka di mana mereka sudah sampai di bandar Guangzhou.


Itulah menara tempat azan di Masjid Huai Sheng atau dikenali juga Masjid Guangta di bandar tersebut, yang dilawati Syukri di negara Cina.

“Masjid dan menaranya bercorak seni bina Timur Tengah ini dibina pada tahun 627M.” Kata seorang kawan yang bersama-sama Yusof dan Syukri. “Pada asalnya, dikatakan terdapat sebuah patung ayam emas di menara itu yang boleh berpusing-pusing menarik perhatian bila ditiup angin…” Sambil jarinya menuding ke menara tersebut. “Namun patung ayam itu telah rosak akibat taufan melanda pada suatu masa…”


Katanya lagi, itulah salah satu masjid bersejarah antara empat buah masjid terawal di China setelah Islam diperkenalkan ke sana pada abad ke 7. Tiga lagi masjid tersebut ialah Masjid Fenghuang di bandar Hangzhou, Masjid Xianhe di Bandar Yangzhou dan Masjid Qilin di Bandar Quanzhou. Masjid Huai Sheng dulunya pernah musnahkan akibat kebakaran dan dibaik pulih pada tahun 1695.


Di masjid yang seluas 2,966 meter persegi ini, terdapat sebuah menara azan di penjuru baratdayanya. Bangunan cerapan bulan terletak di tengahnya, di belakang bangunan tersebut terdapat bilik wuduk, koridor dan ruang solat.

“Kononnya suasana di dalam masjid ini dikatakan amat keramat.. Tetapi pada saya yang sering bersembahyang di sini, tiada rasa apa-apa pun, bahkan terasa bertambah tenang dan khusyuk lagi.” Sambungnya. “Tapi lebih jelas, Imam Wang Wenjie yang berkhidmat di Masjid Huai Sheng ini waktu saya temui sebelumnya pernah berkata, sempena Ekspo Guangzhou diadakan, umat Islam dari pelbagai negara yang berniaga di Guangzhou telah melawat dan bersembahyang di masjid kami ini.


Menurut Imam Wang Wenjie lagi, 80% umat Islam yang sering bersolat di masjid kami ialah pemuda. Terdapat ramai saudagar dari seluruh dunia bersolat di masjid kami. Kini, jumlah umat Islam di bandar Guangzhou yang sudah berdaftar kepada kerajaan mencapai lebih 9,800 orang, namun jumlah umat Islam berasal dari kawasan lain yang bekerja di Guangzhou mencapai kira-kira 50 ribu orang.”

“Aktiviti tersebut telah meningkatkan interaksi dan hubungan umat Islam China dengan umat Islam di negara asing. Oleh sebab masjid ini sangat terkenal, terdapat ramai umat Islam dan pelancong bukan Islam dari pelbagai kawasan di China, juga pelbagai negara lain telah melawat masjid ini setiap tahun.” Yusof pula menambah. “Bukan itu sahaja, bahkan pada tahun-tahun kebelakangan ini, masjid ini pula telah menghantar rombongan untuk melawat negara-negara lain seperti Malaysia, Iran, Hong Kong dan lain-lain.”


Aktiviti masjid ini menghantar rombongan-rombongan ke negara-negara lain amat baik. Nabi Muhamad SAW sendiri telah menghantar sahabatnya, Saad bin Abi Waqqas ke China untuk berdagang dan mengembangkan agama Islam, sehingga tertubuhnya masjid ini (627M) melebihi 1,300 tahun lalu. Menurut catatan sejarah, negara Timur Tengah (pimpinan Nabi Muhammad SAW) telah menghantar utusan ke China untuk menziarahi maharaja China pada tahun 651 Masihi.


Ahli sejarah menganggap tahun itu sebagai lambang penyebaran agama Islam ke China. Tetapi sebenarnya, sebelum utusan Arab itu melawat ke China, sejumlah umat Islam dari Timur Tengah telah berhijrah ke China dan memperkenalkan agama Islam kepada rakyat China. Pada zaman itu, ramai saudagar dari Arab dan Parsi datang ke China melalui laluan laut. Mereka bertolak dari teluk Parsi dan Lautan Arab, melalui Melaka di Asia Tenggara, di mana akhirnya tiba di Bandar Guangzhou, Quanzhou dan Hangzhou di selatan China.


Saudagar-saudagar dari Arab dan Parsi di Guangzhou menetap secara berkelompok di satu kawasan perumahan di bandar itu. Mereka tetap menjalankan adat resam dan agama Islam. Agama Islam yang tersebar ke Guangzhou adalah pada zaman itu. Dikatakan salah satu sebab berkembang pesatnya Islam di Asia Tenggara adalah dari negeri Cina. Termasuk melalui perdagangan dan pelayaran tokoh Cina terkenal Laksamana Muhammad Cheng Ho.

“Jadi perdagangan dan masjid menjadi bahan motivasi penting dalam perkembangan Islam ke peringkat gobalisasi.” Tambah Yusuf lagi.


“Ya, saya sampai ke sini pun adalah hasil dari pertemuan dan perkenalan kita di Masjid Negara Kuala Lumpur!” Syukri mengakui. “…dan kalau yang berhijrah awal ke Malaya selepas lawatan Cheng Ho dulu adalah kaum Cina Islam, maka suasana politik di Malaysia hari ini mungkin lebih Islamik lagi.. Mungkin wujud negara Islam total, yang pemimpin-pemimpinnya dari kalangan orang-orang Cina. Di sini, jelas terbukti perancangan penjajah mengimport buruh-buruh Cina bukan Muslim membanjiri negara ini sebelum Malaya merdeka (kumpulan kongsi gelap Gee Hin & Hai San wujud bersama perkerja lombong bijih di Perak), adalah untuk menyekat perkembangan Islam hasil lanjutan dari Perang Salib di Eropah, pada masa itu.”


“Sekarang kita sambung balik usaha ukhwah, dakwah melalui bisnes.. Insya Allah!!” Kata Yusof membuka jalan penyelesaian dengan penuh harapan.

“Insya Allah!!” Semuanya jawab serentak.


Jadi, kesimpulan boleh dibuat untuk membangunkan agama dan ekonomi umat Islam, peranan masjid perlu dihidupkan semula dan dinaikkan taraf supaya sejajar dengan peredaran masa dan dunia global ini. Kalau sesebuah syarikat perniagaan dalam sesebuah negara boleh bergerak pantas naik meningkat dengan cepat, dari pejabat kecil hingga mempunyai bangunan pencakat langit, dari operasi peringkat tempatan hingga beroperasi ke peringkat antarabangsa, dari negara ke negara dalam masa singkat, mengapa institusi masjid masih terperap ke tahap yang sama seperti dulu??


Contohnya, tukang azan. Apakah peranannya memada dengan tugasnya menyeru dan memanggil orang sembahyang hanya melalui corong pembesar suara di masjid sahaja? Apakah tiada cara lain yang canggih untuk memanggil manusia (Marilah kepada sholat! Marilah kepada kemenangan!) hingga boleh masuk ke pasar & pasarayaaya, pejabat, ke kelab-kelab malam atau siang, tempat-tempat perjudian atau pelacuran atau jadi senator di Dewan Negara? Apalagi di zaman dunia tanpa batasan (melalui internet) menyeru ke seluruh dunia dalam ratusan bahasa? Boleh membuka sebuah universiti atau sebuah kerajaan Islam di internet??


Imam-imam pula lebih besar lagi peranannya. Bukan sahaja takat memantau tukang azan, tok siak (tok siak yang canggih juga besar peranannya), bukan juga menjadi tukang angguk di atas mimbar atau di luar mimbar dan lain-lain. Bahkan menjadi pemantau masyarakat ke arah kebaikan, menghidupkan intitusi pendidikan di masjid ke peringkat lebih tinggi (nasional atau internasional), mampu menyalurkan bantuan kepada fakir miskin dan lain-lain, bahkan juga menjadi pemimpin dan layak bersuara di parlimen.


Yang penting institusi masjid perlu dinaikkan taraf, termasuk gaji dan elaun aktivis-aktivis yang sepadan dengan kerjanya. Wallahu ‘aklam. Bersambung..


Perhatian: Penulis telah menerima beberapa e-mail dari pembaca-pembaca, ramai yang tanya cara-cara dan peluang berniaga di China, ekoran dari tulisan lepas ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Peniaga Global..’ & ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Guagzhou’ Lihat Tranungkite.net atau blog penulis ini sendiri. Untuk mudahnya anda terus menghubungi: Sdr Syukri Tel: 019 6190145 atau datang ke Gerai Niaga Halaman Masjid Negara pada tiap hari Jumaat sebelum atau selepas sembahyang Jumaat. O ya. maaf kalau penulis tak sempat jawab e-mail anda!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 21-09-07

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails