Wednesday, February 03, 2021

Tommy Thomas: Bongkaran Lebih Parah. Syabas Dr Kamarul.

 

Apakah Tan Sri Tommy Thomas akan disaman lagi?

SEJAK awal membaca buku Tan Sri Tommy Thomas, saya telah menjangkakan kemungkinan bahawa beliau akan berhadapan dengan beberapa tindakan perundangan disebabkan kandungan buku beliau yang membuat pelbagai dakwaan berani terhadap beberapa pihak tertentu, termasuk juga kerana mendedahkan perkara bersifat rahsia.

Hari ini saya dimaklumkan bahawa mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abd Razak, melalui peguam beliau, Tan Sri Dato’ Sri Dr Muhammad Shafee Md. Abdullah, telah menghantar surat tuntutan supaya Tan Sri Tommy Thomas membayar beliau RM10 juta kerana fitnah bahawa beliau yang mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaaribu.

Saya menjangkakan bahawa, selepas surat tuntutan daripada Dato’ Sri Najib ini mungkin akan ada lagi surat-surat tuntutan lain terhadap Tan Sri Tommy Thomas ekoran kandungan buku beliau, dan ini mungkin termasuk kerana tindakan beliau mendedahkan identiti perancang sebenar konspirasi pemecatan kes Tun Salleh Abas daripada jawatan beliau sebagai Ketua Hakim Negara.

Mengikut Tan Sri Tommy Thomas, pemecatan Tun Salleh Abas adalah berpunca daripada ketakutan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri waktu itu, bahawa Tun Salleh Abas akan membuat penghakiman yang tidak memihak kepada beliau dalam kes rayuan Umno.

Begitupun, pendedahan ini sebenarnya tidaklah mengejutkan kerana Tun Salleh Abas sendiri, di dalam buku May Day for Justice beliau yang amat terkenal itu pernah menyatakan, pada muka surat 206, muka surat 288 dan muka surat 290, mengenai betapa:

(1) Tun Dr Mahathir Mohamad menulis kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memecat Tun Salleh Abas dua hari selepas beliau menetapkan tarikh bagi kes rayuan Umno.

(2) Jika perayu berjaya di dalam rayuan mereka, dan Umno lama dihidupkan semula, maka hayat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri akan berakhir.

(3) Kes rayuan Umno yang Tun Salleh Abas tetapkan untuk dibicarakan terus dibuang dari kalendar pada hari yang sama beliau digantung dari jawatan beliau. 

(4) Kes rayuan Umno dibicarakan pada hari yang sama beliau dipecat dari jawatan beliau dengan kemenangan memihak kepada pihak Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang agak mengejutkan adalah keberanian Tan Sri Tommy Thomas untuk membuat pendedahan mengenai peranan yang dimainkan oleh Tun Abdul Hamid Omar, mantan Ketua Hakim Negara yang menggantikan tempat Tun Salleh Abas, dan Tan Sri Abu Talib Othman, mantan Peguam Negara sewaktu pemecatan Tun Salleh Abas berlaku sebagai perancang kepada konspirasi untuk memecat Tun Salleh Abas ini.

Jelas disebut oleh Tan Sri Tommy Thomas pada muka surat 107-108 buku beliau bahawa:

(1) Tun Abdul Hamid Omar adalah ketua perancang kepada konspirasi untuk memecat Tun Salleh Abas.

(2) Tun Abdul Hamid Omar dibantu oleh Tan Sri Abu Talib Othman yang didakwa mempunyai dendam terhadap Tun Salleh Abas.

(3) Tun Abdul Hamid Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman meyakinkan atau meracuni Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa selagi Tun Salleh Abas masih menjadi Ketua Hakim Negara, Umno berisiko untuk kalah di dalam kes rayuan.

(4) Tun Abdul Hamid Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman menggunakan keputusan Tun Salleh Abas membariskan kesemua 9 hakim Mahkamah Persekutuan untuk mendengar kes rayuan Umno ini sebagai bukti beliau tidak boleh diharapkan.

(5) Tun Abdul Hamid Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman meyakinkan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika Tun Abdul Hamid Omar dilantik menjadi Ketua Hakim Negara, beliau akan memastikan kemenangan Umno di dalam kes ini.

Lebih berani lagi, Tan Sri Tommy Thomas pada muka surat 112 buku beliau terang-terang memberikan motif utama mengapa Tun Abdul Hamid Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman meyakinkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Tun Salleh Abas dan menggantikan beliau dengan Tun Abdul Hamid Omar, iaitu keinginan berlebihan untuk berkuasa dan kedengkian (‘Shakespeare’s ‘over-vaulting ambition’ and envy’).

Tun Abdul Hamid Omar telah meninggal dunia pada 1 September 2009, tetapi Tan Sri Abu Talib Othman masih ada, jadi sama-samalah kita tunggu apakah beliau akan mengakuinya, menafikannya atau menyaman Tan Sri Tommy Thomas atas pendedahan ini.

Dalam pada itu, walau apa pun yang berlaku, peranan besar Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam kes pemecatan Tun Salleh Abas ini tetap tidak terjejas, dan adalah didoakan agar beliau akan sempat memohon ampun daripada keluarga Tun Salleh Abas kerananya.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 2/2/2021

Lihat sebelum ini.. Beradabkah Tan Sri Tommy Thomas.. apa niat? -Dr K...

IHtv
17 subscribers

1 comment:

Anonymous said...

Tangkap atok kerana salahguna kuasa sebagai pm. Makhluq perosak yg banyak merosakkan politik malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails