Friday, April 12, 2019

PRK DUN Rantau; Seolah-olah PAS bertanding -Presiden PAS




SEREMBAN: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan gerak kerja para petugas parti itu pada sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau seolah-olah PAS yang bertanding.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang meluangkan masa beramah mesra dengan jentera PAS PRK Rantau di Markas Induk PAS, petang semalam.
“Gerak kerja mereka seolah-olah PAS yang bertanding di sini, bertungkus lumus untuk memenangkan calon BN,” tulis Tuan Guru menerusi laman Facebook beliau, malam tadi.
Pada malam tadi, beliau berceramah bersama calon BN yang juga Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan di Taman Angsama, Rantau di samping Timbalan Presiden MIC, Dato’ Seri T Saravanan dan Naib Presiden MCA, Dato' Seri Ti Lian Ker.
PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, Dato' Seri Mohamad Hasan, Dr Streram a/l Sinnasamy (PH) serta dua calon Bebas, Malarvizhi A/P M Rajaram dan Mohd Nor Yassin.
PRK Dun Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.
Pada PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan SPR Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR menetapkan hari mengundi PRK Rantau pada 13 April manakala pengundian awal telah diadakan 9 April lalu. – HARAKAHDAILY 12/4/2019

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails