Sunday, November 04, 2018

Lawan Banding Gaji, 'Gaji saya lagi tinggi.. ' -Dr M

Gaji saya lagi tinggi daripada Menteri Kewangan: Dr Mahathir

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Baru-baru ini tular dalam media sosial pengisytiharan harta melibatkan pemimpin PH dan mengejutkan, pendapatan bulanan Menteri Kewangan bersama keluarga melebihi pendapatan Perdana Menteri.
Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula memberitahu gajinya melebihi gaji Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Menurutnya, beliau tidak tahu dari mana Guan Eng mendapatkan wang sehingga membolehkan pendapatannya melebihi Perdana Menteri.
“Gaji saya lagi tinggi dari gaji Menteri Kewangan. Dari mana dia dapat (pendapatan tinggi) saya tidak tahu,” katanya yang disambut ketawa media dan pimpinan PH.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan PH akan menganjurkan majlis makan malam bertujuan mengumpul dana buat parti itu.
“Pemberi derma tidak akan diberi layanan istimewa kerana sistem kita sekarang ialah secara tender.
“Dalam tender yang dibuat, pihak yang akan buat keputusan tidak akan diberitahu siapa yang menawarkan tender.
“Makan malam itu akan diadakan pada 9 Disember nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” ujarnya.
Tambahnya lagi, mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung hari ini turut membincangkan beberapa masalah dalaman parti selain perancangan majlis makan malam itu.
“Kita telah bincang beberapa masalah dalaman dan tak dapat saya terangkan kepada media sebab ia adalah masalah dalaman,” katanya. (SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails