Sunday, November 04, 2018

Bon Samurai. K'jaan Mampu Bayar Semula. -Guan Eng

Hasil carian imej untuk Kerajaan mampu bayar semula bon Samurai

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin mampu membayar semula penerbitan bon Samurai dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ini kerana kadar faedah yang ditawarkan kerajaan Jepun terhadap penerbitan bon bernilai RM7.4 bilion itu rendah iaitu hanya 0.65 peratus.
“Apabila kita lihat semula bon ini, kadar yang paling murah kita peroleh untuk lima tahun tetapi disebabkan kerajaan Jepun memberi jaminan dan menghormati Malaysia, maka mereka bersetuju memberi sehingga 10 tahun.
“Jika dalam tempoh lima tahun terlalu singkat untuk kita mengemudi, maka kita ada 10 tahun untuk bayar semula dengan kadar faedah yang memihak kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Belanjawan 2019 bersama Menteri dan Timbalan Menteri di Bangunan Parlimen, hari ini.
Guan Eng berkata, kementerian akan membincangkan penggunaan bon Samurai itu sebelum suku pertama tahun depan dan penggunaannya akan dipelbagaikan.
“Ini termasuk pembiayaan kewangan semula, penggubalan semula pinjaman denominasi asing yang sedia ada dan beberapa projek pembangunan negara, “ katanya.
Kerajaan Jepun sebelum ini menjamin sehingga 200 bilion yen (RM7.4 bilion) untuk penerbitan bon Samurai bertempoh 10 tahun.
Tawaran oleh kerajaan Jepun itu mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran dan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penerbitan itu akan dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon 0.65 peratus dan dijangka terbit sebelum Mac 2019. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails