Thursday, November 08, 2018

Bible Kecill Disangka Kamus Diedar Setiap Pelajar Islam..


BIBLE yang diedarkan lelaki cina ketika pelajar pulang dari sekolah, Jumaat lalu. - Foto ihsan pembaca 


BUKIT MERTAJAM: “Saya lihat dua lelaki mengedar buku kecil kepada setiap pelajar Islam yang keluar dari kawasan sekolah,” kata seorang pekerja am yang enggan dikenali.
Dia terkejut apabila mendapati buku kecil yang disangka pelajar sebagai kamus itu adalah kitab Bible.

Menurut pekerja berusia 50-an itu, dia bersama rakan sekerja yang mahu keluar rehat melihat gelagat dua lelaki berusia 40-an dan 60-an mengedarkan Bible kepada pelajar sebaik tamat waktu persekolahan.
Katanya, dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, pelajar didapati berada dalam keadaan kebingungan dan mengambil sahaja buku kecil yang dihulurkan namun meninggalkannya kepada pengawal keselamatan yang berada di pintu pagar utama sekolah.
“Pada mulanya, saya tertanya-tanya apa buku yang diberikan kepada pelajar sehinggalah saya membukanya dan melihat ia adalah kitab Bible.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di kawasan sekolah kerana ia menggugat sensitiviti masyarakat beragama Islam,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, di sini, hari ini.
 SEORANG pengawal keselamatan yang enggan dikenali menunjukkan gambar diantara tiga atau empat individu lelaki cina tidak dikenali berada di luar pintu pagar utama dan belakang sekolah mengedarkan sebuah buku kecil dipercayai bible ketika pelajar pulang dari sekolah. - Foto ihsan pembaca
NSTP yang mengadakan tinjauan ke sekolah berkenaan dimaklumkan seorang pengawal keselamatan dekat situ bahawa kejadian itu adalah pertama kali berlaku.
Menurutnya, difahamkan terdapat tiga atau empat individu tidak dikenali berada di luar pintu utama dan belakang sekolah menunggu pelajar keluar bagi mengedarkan Bible berkenaan.
“Mujurlah kebanyakan pelajar tidak membawa pulang kitab itu kerana mereka sangka ia adalah kamus dan meninggalkannya kepada pengawal keselamatan untuk diserahkan kepada pihak sekolah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, isu berkenaan tular di media sosial Facebook selepas ada ibu bapa pelajar memuat naik kandungan buku berkenaan.
“Pelbagai pihak berkaitan juga sudah mengadakan pemeriksaan dan mengambil kesemua naskhah Bible yang ditinggalkan di sekolah ini untuk siasatan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) Mohd Jamil Mohamed ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah mengadakan pemantauan di sekolah itu dan menasihati semua pelajar beragama Islam yang mengambil kitab berkenaan untuk menyerahkannya kepada pihak sekolah.
“Saya ingatkan kepada semua pihak bahawa kawasan sekolah adalah sama sekali dilarang untuk perkara-perkara seperti ini kerana ia jelas melanggar Perlembagaan negara.
“Pihak JPN memandang serius akan perkara ini dan meminta supaya setiap individu dapat menghormati kawasan sekolah dan berharap perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis menerima tiga laporan yang dibuat dua wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang waris pelajar berhubung isu berkenaan.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menasihati supaya semua pihak menghormati Perlembagaan negara tanpa menimbulkan sebarang masalah atau ketegangan kaum serta agama.
Beliau dilaporkan berkata, semua pihak perlu memahami Artikel 11 (4) bahawa agama lain bebas diamalkan tetapi tidak boleh didakwah kepada orang Islam. (BH)

1 comment:

Anonymous said...

RAMAI DAH JADI PENGIKUT LGE/LKS N MAHTIR...HABIS JADI MAJU DAH LANI...TAHNIAH ESOK AKHIRAT KORANG BANGKIT BERSMA DGN PEMIMPIN IKAU BAI..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails