Monday, November 05, 2018

Tindakan Biadap DAP, Lucut Yew Yin dalam MPEN..




DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) mengecam tindakan biadap taikun DAP, Koon Yew Yin yang secara terang dan jelas mencemarkan institusi Di-Raja Perak dengan membuat dakwaan yang sangat serius berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran oleh Almarhum Sultan Azlan Shah dan tuduhan berat bahawa campur tangan Tuanku Sultan Nazrin untuk tidak meneruskan lantikan beliau sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri.
Tindakan Koon Yew Yin dilihat sengaja membangkitkan rasa kebencian kepada rakyat terhadap sultan malahan seolah mencabar kontrak sosial yang telah dimeterai dalam Perlembagaan Malaysia yang selama ini dipegang oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya di Perak.
DPPN Perak bersetuju dan merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan tepat Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhomat Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmat Koon Yew Yin menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negeri. Walaupun Koon Yew Yin penyuntik dana politik dalam Pakatan Harapan, namun ianya bukanlah membolehkan beliau mengatakan sewenangnya.
DPPN Perak menggesa supaya Koon Yew Yin segera tampil menyembah permohonan ampun kepada KDYMM Tuanku Sultan Perak dan keluarga Di-Raja Perak. Dalam masa yang sama, beliau perlu membuat permohonan maaf secara umum di media dalam tempoh 24 jam di atas kata-katanya yang melampau dan menyinggung banyak pihak, selain berisiko mengundang tindak balas negatif.
DPPN Perak menyeru semua pihak untuk sama-sama membuat laporan polis sekiranya beliau enggan memohon ampun dan meminta maaf juga terus berkeras dengan sikap ego dan sombongnya dalam tempoh yang ditetapkan.
DPPN Perak sentiasa komited dalam memperjuangkan isu yang berkaitan Islam, Raja dan Melayu. Justeru itu juga diingatkan kepada semua pihak sama ada individu, parti politik mahupun badan NGO agar menjaga keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan sultan serta memastikan kontrak sosial yang terbina dapat dijaga dan disemat utuh dalam jiwa rakyat supaya negara kekal dalam kesejahteraan.
"Islam Memimpin" 
"Terus Mara"
"Terus Berjuang"
YB AKMAL HJ KAMARUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak - HARAKAHDAILY 5/11/2018

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails