Wednesday, July 16, 2014

Ramadhan, Jangan Terundang Kemurkaan Allah -Khalid Samad


Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata takwa bererti takut kepada kemurkaan Allah.

"Bulan Ramadan bulan ketakwaan. Takwa bererti takut kepada kemurkaan Allah.
"Jangan kerana hendak elak kemurkaan manusia terundang kemurkaan Allah," tulis Khalid di akaun Twitter-nya lewat tengah malam tadi menerusi akaun Twitter beliau, @KhalidSamad.
"Doa Rasulullah (SAW) balik dari Taif setelah dilempar batu. "Asalkan Kamu tak murka terhadap ku, maka aku tak kisah," tulis Khalid lagi merujuk kepada satu doa daripada Nabi Muhammad kepada Allah SWT.

Khalid tidak memperincikan kepada siapa kenyataan itu ditujukan. Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan kesal dan kecewa dengan kenyataan Khalid tentang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Khalid sebelum ini dilapor mencadangkan agar MAIS tidak lagi diberi kuasa untuk menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan kesal dengan kenyataan Khalid pada 17 Jun itu.

Utusan Online melaporkan baginda bertitah bahawa tindakan Khalid mempersoalkan kuasa MAIS itu seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama Islam yang mendapat nasihat MAIS berkenaan agama Islam seperti termaktub dalam undang-undang.

Baginda juga dilaporkan bertitah, ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan isu berkaitan kuasa eksekutif MAIS serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya lapuk. Utusan melaporkan baginda bertitah demikian di majlis perasmian masjid pekan Sepang.

Sementara itu, hari ini, Utusan melaporkan Khalid berharap beliau dapat menghadap Sultan Selangor bagi menjelaskan kepada baginda tindakannya meminta kerajaan negeri menghapuskan kuasa eksekutif MAIS sebelum ini.

Laporan itu memetik Khalid berkata, sebagai rakyat Selangor, beliau akur dengan segala penegasan yang telah dibuat oleh baginda ke atasnya mengenai tindakannya sebelum ini. (MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails