Monday, July 14, 2014

Sertai Gerakan Militan PAS Pecat Dr Mahmud & 2 Lagi..



PAS pecat ahlinya, pensyarah Universiti Malaya Dr Mahud Ahmad yang dipercayai menyertai gerakan militan di luar negara. Gambar fail. PAS pecat ahlinya, pensyarah Universiti Malaya Dr Mahud Ahmad yang dipercayai menyertai gerakan militan di luar negara. Gambar fail.












 
 
PAS memecat tiga lagi ahlinya yang dipercayai menyertai gerakan militan di luar negara termasuk seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Dr Mahmud Ahmad.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata dua lagi yang turut dipecat ialah Mohd Najib Husen atau Abraham, 36, dan Muhammad Joraime Awang Raime atau Abu Nur, 39.

"Mereka digugurkan sebagai ahli PAS dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang diadakan semalam," katanya kepada The Malaysian Insider.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata polis sedang memburu lima lagi rakyat Malaysia yang terlibat dengan kegiatan kumpulan militan. Khalid dalam satu kenyataan pada 2 Julai berkata, Mahmud juga dikenali juga sebagai Abu Hanzalah, 36, beralamat di Taman Selayang Baru, Batu Caves.

Turut dikenal pasti ialah pemilik kedai fotostat dan alat tulis di UM, Mohd Najib yang tinggal di Pangsapuri Tainia, Kota Damansara dan kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang Muhammad Joraime yang tinggal berdekatan kawasan perumahan Mahmud.

Dua lagi berasal dari Tawau, Sabah iaitu Mohd Amin Baco, 31, dari Kampung Titingan dan buruh Jeknal Adil atau Jek, 30, dari Kampung Kurnia Jaya. Khalid berkata, mereka dikenal pasti hasil siasatan terhadap 19 anggota militan yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman sejak 28 April lalu, kini dipercayai bersembunyi di selatan Filipina.

"Tiga daripada mereka disyaki terlibat dalam merekrut dan mengatur anggota militan dari negara ini pergi menyertai Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (Isil) di Syria," katanya dan percayai kenyataan itu merujuk kepada Mahmud dan dua rakannya.
"Dua lagi adalah anggota Darul Islam Sabah yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) di selatan Filipina," katanya.

Mustafa berkata, PAS pusat menerima laporan tiga ahli PAS itu termasuk dalam senarai orang yang dikehendaki polis.

"Setelah menyemak data mereka dan mendapat laporan dari kawasan berkenaan, PAS pusat memutuskan dalam mesyuaratnya semalam menggugurkan mereka daripada menjadi ahli PAS," kata Mustafa.

Pada 11 Mei lalu, PAS memecat keahlian Lotfi Ariffin dari Kedah yang menyertai gerakan bersenjata di Syria. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya 11 Julai lalu berkata, PAS tidak mengizinkan mana-mana ahlinya menyertai kumpulan radikal atau bersenjata di dalam atau luar negara.

Beliau berkata, sekiranya mereka didapati terlibat dengan kumpulan radikal tersebut, PAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dengan memecat keanggotaan mereka di dalam parti Islam itu.

“PAS meneliti dengan penuh hati-hati terhadap perkembangan terkini yang berlaku di Iraq dan Syria serta meminta ahli, penyokong dan seluruh rakyat dapat memahami segala bentuk percaturan yang sedang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadi berkata, PAS tetap mengambil pendekatan demokrasi menerusi pilihan raya dan inilah pendekatan yang diperkenalkan kepada semua pihak dalam gerakan Islam di seluruh dunia.

“Pendekatan ini adalah yang terbaik pada masa ini bagi menghadapi masalah dalaman negeri umat Islam sendiri dengan menekankan prosesnya secara damai dan demokrasi,” katanya.

Dalam laporan Harakahdaily hari ini, Mustafa berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada ketiga-tiganya terlibat dengan kegiatan militan atau tidak. Mustafa memberitahu, sebelum memaklumkan kepada PAS pusat, pihaknya sebelum ini membuat semakan terhadap ketiga-tiganya dan mendapati mereka adalah ahli PAS di peringkat kawasan.

Kemudian katanya, penyiasatan lanjut dibuat dengan bertemu sumber rapat dan mengenali latar belakang mereka bagi mendapat kepastian berhubung penglibatan mereka dengan kumpulan militan seperti didakwa. Hasil siasatan katanya, ketiga-tiga mereka sememangnya ada terlibat dengan misi kemanusiaan di Mindanao.

"Adapun dari sudut terlibat dengan militan, sumber tadi tidak boleh mengesahkan secara muktamad kepada saya sebab mereka semua ini tidak berada dalam negara dan tidak dapat dihubungi.
"Oleh itu, saya tidak boleh buat pengesahan sama ada dia terlibat atau tidak," kata Mustafa lagi sebagaimana dilaporkan Harakahdaily.

Ditanya bagaimana PAS membuat keputusan dalam keadaan tidak mengetahui keterlibatan sebenar mereka, Mustafa berkata ia dibuat kerana wujud unsur keraguan.

"Walaupun aktiviti sebenar secara muktamadnya tidak dapat kita pastikan, tapi maknanya ada keraguan yang boleh dikaitkan.
"Tetapi demi menjaga kepentingan jamaah dan parti, kita ambil keputusan seperti mana yang ditegaskan oleh presiden sebelum ini," katanya. – 14 Julai, 2014. (TMI)

1 comment:

Anonymous said...

Nampaknya PAS juga terpengaruh setelah menjilat muntah2 dpd musuh islam dgn menggelarkan pejuang fisabilillah sebagai "militan". Apakah kerana takut pada tekanan dan dilebel sebagai "militan" oleh musuh2 islam, maka PAS sendiri sanggup menghukum pejuang2 fisabilillah dgn menganggap mereka sebagai pengganas
Masya Allah begini rupanya sikap pemimpin2 PAS ya....sedangkan seorang syekh dpd Syiria yg dtg dan memberi ucapan di masjid negeri perak baru2 ini mengatakan mereka2 pejuang fisabilillah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails