Friday, July 18, 2014

Ini Gambar Saspek Penembak MH7 & Detik Peristiwa.

 
Menteri pertahanan Republik Rakyat Donetsk (DPR) – yang mengisytiharkan kerajaan sendiri – Igor Girkin kini dianggap suspek utama di sebalik tragedi MH17.
   Lokasi jatuhnya Malaysia Airlines MH17 Lokasi jatuhnya Malaysia Airlines MH17

Berikut perkembangan hari pertama insiden melibatkan MH17 di timur Ukraine lewat malam tadi:

4.48pm Menteri pertahanan Republik Rakyat Donetsk (DPR) – yang mengisytiharkan kerajaan sendiri – Igor Girkin kini dianggap suspek utama di sebalik tragedi MH17.

Menurut Sydney Morning Herald, bekas pegawai risikan itu turut dikenali sebagai Strelkov atau Shooter (penembak) malah pernah menembak tenteranya sendiri kerana ingkar perintah.

Girkin menjadi perharian selepas dilapor memuat naik pesanan di sosial media Rusia, yang berbunyi: “Kami sudah beri amaran pada kamu – jangan terbang di udara kami.”

4.05pm: Sekitar 100 penyelidik HIV/Aids mungkin berada dalam MH17, yang boleh dianggap sebagai tamparan hebat terhadap usaha menangani virus itu, lapor The Guardian.

Ia menambah, perwakilan untuk sedang pleno bagi persidangan Aids 2014 diberitahu bahawa pertukaran e-mel menunjukkan kira-kira 100 peserta sudah menempah tiket MH17.

Belum ada pengesahan berhubung bilangan penyelidik yang menaiki pesawat itu.

3.50pm: Interfax melaporkan, militan Republik Rakyat Donetsk (DPR) sedia mengumumkan gencatan senjata supaya pasukan penyelamat dan penyiasat memasuki kawasan insiden.

Nenek tiri Najib dalam pesawat

3.19pm Star Online hari ini mengesahkan nenek tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak antara 43 penumpang Malaysia dalam pesawat MH17.

Memetik jurucakap keluarga Dr Faridah Abdullah, Siti Amirah, 83, yang pernah pernah berkahwin dengan Mohammad Noah Omar (datuk Najib) dalam perjalanan seorang diri daripada Amsterdam ke Jogjakarta.

2.50pm Seramai 121 mayat dilaporkan ditemui di tapak MH17 terhempas di wilayah Donetsk, Ukraine, menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine, lapor akhbar Rusia Pravda.

2.05pm: Kedutaan Ukraine menafikan negara itu mempunyai peranan dalam tragedi MH17 dan menyalahkan “pengganas pro-Rusia dan senjata buatan Rusia”.

1.52pm: Saksi memberitahu, pasukan penyelamat menemui kotak hitam kedua daripada MH17, lapor Reuters.

1.50pm: Pesawat MH17 (B777-200 dengan nombor pendaftaran 9M-MRD) mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik.

Penyelenggaraan terakhir pada 11 Julai, menurut kenyataan Malaysia Airlines.

1.20pm: Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai melawat anggota keluarga penumpang MH17 di pusat pelawat KLIA.

Beliau yang baru pulang daripada China pagi ini tidak bercakap kepada media.

Beberapa syarikat penerbangan mula mengelak laluan Ukraine.

Menteri nafi ditembak kerana laluan larangan

1.15pm Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyangkal dakwaan pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine kerana menggunakan laluan larangan, lapor Bernama.

Beliau berkata laluan sama digunakan oleh beberapa pesawat syarikat penerbangan lain, dan "spekulasi mengatakan pesawat MH17 telah menggunakan laluan yang menjadi kawasan larangan adalah tidak benar."

12:44pm Pemuda PAS hari ini mempertikaikan tindakan Malaysia Airlines memasuki ruang udara kawasan konflik bersenjata yang berisiko tinggi.

12.35pm: Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sekurang-kurangnya untuk tiga hari sebagai tanda berkabung atas tragedi MH17.

12.30pm: Menurut sepupunya, penerbangan malam tadi sepatutnya yang terakhir untuk juruterbang pesawat MH17 Kapten Wan Amran Wan Hussin sebelum memulakan persediaan untuk hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sepupunya yang hanya mahu dikenali sebagai Umi, 50, berkata Wan Amran bercadang membawa isteri dan dua anaknya kembali ke kampung halaman di Kuala Kangsar.

'Sistem peluru berpandu hidup sebelum terhempas'

12:20 pm: Kerajaan Amerika Syarikat membuat kesimpulan bahawa MH17 ditembak peluru berpandu walaupun penembaknya belum dikenal pasti, lapor CNN.

Pegawai kanan AS Barbara Starr dilaporkan berkata, sistem radar melihat sistem peluru berpandu darat ke udara dihidupkan dan terdapat kesan pesawat sebelum terhempas.

Sistem kedua melihat kesan haba ketika pesawat ditembak.

AS sedang menganalisis trajektori peluru berpandu untuk menentukan dari mana ia datang.

Ukraine bentuk suruhanjaya 4 negara

12.23pm Presiden Ukraine Petro Poroshenko dilapor mengucapkan takziah malam tadi kepada saudara mara 298 penumpang yang terkorban dalam MH17 dan menegaskan pelbagai negara patut terlibat menyiasatnya, lapor CNN.

“Suruhanjaya Kecemasan Negara ditubuhkan bagi menyiasat sebab bencana itu.

"Pakar daripada Pertubuhan Penerbangan Sivil Antarabangsa (ICAO), pihak Belanda, Malaysia dan Amerika Syarikat akan terlibat,” Poroshenko dilapor sebagai berkata.

Perdana Menteri John Abbot berkata insiden itu kelihatan seperti jenayah berbanding kemalangan.

Seramai 27 warga Australia dalam pesawat itu dan beliau memberitahu parlimennya, pihak bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan.

11.40am: Amerika Syarikat menggesa gencatan senjata segera antara Rusia, Ukraine dan pasukan pemisah bagi membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan insiden.

Rumah Putih dalam kenyataannya menegaskan kepentingan bukti daripada bangkai pesawat yang terhempas itu tidak diganggu, lapor The Guardian.

Insurans nilai RM311 juta

11.25am:
Aon Plc, broker insurans London, dilaporkan menilai pesawat yang terhempas itu kira-kira $97.3 juta (RM310.95 juta).

11.20am: Mercy Malaysia menghantar pasukan lima ahli psikologi dan kaunselor ke KLIA pagi ini.

Memetik ahli psikologi Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Mercy turut memberikan khidmat kaunseling kepada anak kapal MAS.

Organisasi itu berkata dapat menghantar kesemua 50 pakar ke lapangan terbang.

Doa keluarga kru MH370 buat MH17

11am: Bagi keluarga MH370, tragedi malam tadi melibatkan sebuah lagi pesawat MAS MH17 ibarat luka berdarah semula.

“Sebagai anggota keluarga anak kapal MH370, dan bagi pihak semua mereka, kami turut berdoa untuk MH17.

“Tabahkan hati wahai sanak saudara,” tulis Maira Elizabeth Nari, anak kepada kru MH370 sejurus selepas tengah malam tadi.

Ujian pertama Liow

10.26am: Selepas menggalas tugas besar mengambil alih jawatan menteri pengangkutan daripada pemangkunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Liow Tiong Lai akan bertanggungjawab menguruskan insiden MH17.

Beliau dilapor memberitahu The Star, walaupun sedang sibuk dengan urusan berkaitan MH370, beliau terpaksa menangguhkannya dulu demi MH17.

10.15am: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut pelaku “pembunuhan besar-besaran” dalam insiden itu diheret ke muka pengadilan.

Beliau juga menyeru MAS dan pihak berkuasa Malaysia melakukan yang terbaik dalam menguruskan perkara itu, terutamanya dalam perkara sensitif serta responsif kepada keperluan anggota keluarga terlibat.

10:00am Bernama senaraikan syarikat penerbangan komersial yang ditembak dalam tempoh 40 tahun terakhir.

Sebelum MH17, pada 21 Februari 1973, pesawat 114 Syarikat Penerbangan Libya daripada Tripoli ke Kaherah ditembak di Semenanjung Sinai oleh Israel, menyebabkan 113 orang terbunuh.

Sementara itu, Lebih ramai anggota keluarga MH370 tiba di lapangan terbang.

Mereka berkumpul sejak jam 7 pagi dan menunggu dihantar ke Hotel Marriot, Putrajaya untuk taklimat MAS

Takziah & doa Nik Aziz 

10.39am Mursyidul AM PAS berkata, jika benar pesawat MH17 diserang di timur Ukraine seperti dilaporkan, langkah itu wajib dikutuk dan diambil tindakan.

“Masyarakat antarabangsa juga wajib mengambil peranan untuk memberikan tekanan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik agar tidak melibatkan orang awan yang tidak berdosa di dalam pertikaian mereka,” katanya.

Menulis dalam Facebook dari wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Nik Aziz merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.

“..semoga Allah SWT merahmati roh saudara seagama kita yang dipanggil mengadap-Nya di bulan yang mulia ini. Saya berkongsi rasa dukacita di atas tragedi berkenaan,” katanya.

Beliau mengharapkan siasatan terperinci dilakukan ekoran tragedi berkenaan khususnya dari aspek prestasi keselamatan laluan berkenaan.

9.46am: MH17 dilaporkan terbang 300 meter atas ruang udara kawasan terhad ketika ia dipercayai ditembak, lapor The Guardian.

Eurocontrol, badan kawalan udara Eropah, berkata pesawat itu terbang di ruang udara “terbuka” pada ketinggian 33,000 kaki.

Menurutnya, ia masih boleh dicapai oleh “senjata penembak darat ke udara yang canggih”.

The Guardian, memetik agensi, berkata kesemua penerbangan di timur Ukraine dilarang terbang di kawasan itu.

Akhbar itu juga mendedahkan, pesawat British kira-kira sebulan lalu mendapat jawapan “all-clear” untuk terbang ke kawasan sama ekoran operasi 'normal' di rantau itu.

Aktivis aids antarabangsa antara korban

9.30am: Joselyn Pang daripada Majlis Aids Malaysia menyatakan kehilangannya terhadap bekas presiden Persatuan Aids Antarabangsa (IAS) Joep Lange, salah seorang daripada 298 orang yang terkorban dalam nahas Flight MH370.

Malam tadi, pesawat Malaysia terhempas di Ukraine.

Boeing 777-200 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan sepatutnya sampai pada jam 6 pagi tadi.

Laporan mendakwa pesawat itu mungkin ditembak ketika terbang di kawasan yang sedang bergolak dengan konflik ketenteraan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak belum mengesahkan sama ada pesawat Malaysia ditembak atau tidak. Beliau bagaimanapun menuntut keadilan jika ia besar. (MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails