Thursday, July 17, 2014

Yatt: Ini, Satu Petanda Positif Dalam Industri Hiburan Tempatan.



Yat 

DIA tidak menafikan bahawa terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dilalui oleh seseorang artis wanita yang telah berhijrah seperti dirinya apabila meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Dengan kemunculan beberapa buah stesen yang menjurus kepada program islamik, ia lebih membuka peluang kepada pelakon wanita yang berhijab meneruskan karier lakonan masing-masing.

Menurutnya lagi, dengan kemunculan lebih ramai artis wanita yang mengambil keputusan untuk berhijab sekarang ini, dia beranggapan bahawa ia merupakan satu petanda yang positif dalam industri hiburan tempatan.

"Pada peringkat awal dahulu ada yang menyangka saya sudah tidak berlakon lagi setelah berhijrah. Kalau ada yang mahu mengambil saya berlakon, mereka meminta supaya sekadar memakai serkup kepala sahaja serta melakukan adegan sentuhan dengan bukan muhrim.
"Rasanya bukan saya seorang sahaja yang berhadapan dengan keadaan ini dan percaya ia dialami oleh pelakon lain yang sudah berhijrah. Jadi, saya berharap supaya artis yang sudah berhijab ini mendapat pembelaan sewajarnya dengan memberikan watak yang bersesuaian," tegasnya.

Sejak mengambil keputusan untuk berhijrah sekitar tahun 2012, terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam diri pelakon, Yatt Hamzah. Selain tampil dengan gaya muslimah, dia juga kerap mendalami ilmu agama menerusi kumpulan Usrah Fitrah yang dianggotai ramai selebriti.

Biarpun namanya mula dikenali sebagai seorang model dan pelakon, tetapi kini dia agak jarang kelihatan tampil di kaca televisyen sehingga ada yang beranggapan dia tidak lagi aktif dalam bidang yang pernah mengangkat namanya itu. Yatt atau pemilik nama sebenar Haryati Hamzah memberitahu ketika ditemui dalam program Qaseh Suci Ramadan di Masjid Asy-Syakirin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Suci By Yatt Hamzah

Melihat aktiviti yang dilakukannya sekarang ini, Yatt memberitahu kini dia sudah membuka sebuah butik yang diberi nama Suci By Yatt Hamzah sejak bulan Jun tahun lalu. Menurutnya, biarpun butik tersebut yang terletak di tingkat empat Busana Mall Menara Mara, Kuala Lumpur baru sahaja setahun dibuka, tetapi ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan.

"Tidak dinafikan perniagaan butik pakaian muslim dan muslimah yang saya jalankan ini merupakan keutamaan saya sekarang. Itu yang menyebabkan saya mahu fokus kepada perniagaan ini.
"Memandangkan kini umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan, kini saya telah membuka sebuah lagi butik di tingkat dua dan memang jadual harian saya agak padat sekarang," jelasnya.

Selain sibuk menjalankan perniagaan, Yatt memberitahu, dia juga sibuk dengan aktiviti keagamaan dan kemanusiaan serta kerap menyertai pelbagai forum yang dianjurkan di masjid, surau, sekolah dan institusi pengajian tinggi.

"Sejak saya berhijrah dahulu memang banyak undangan yang diterima, tetapi saya bukanlah bercerita tentang ilmu agama. Sebaliknya, saya lebih banyak berkongsi tentang kehidupan yang dilalui dahulu agar ia menjadi pengajaran kepada orang ramai," ujarnya.

Usrah Suci

Setelah keputusan dibuat untuk menjadi seorang muslimah, ternyata Yatt kerap menjalani kelas agama bersama kumpulan Usrah Fitrah yang turut disertai ramai selebriti seperti Heliza Helmi dan Diana Amir.

Ujarnya, dengan segala ilmu yang diperoleh sepanjang menjalani kelas berkenaan, akhirnya dia telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama Usrah Suci.

"Kalau kumpulan Usrah Fitrah khusus kepada golongan selebriti, Usrah Suci ini pula terbuka kepada orang ramai yang mahu mengikuti kelas agama. Saya tubuhkan kumpulan ini sejak Mac tahun lalu dan sudah dianggotai oleh 30 orang.
"Sebenarnya sudah lama saya berhasrat untuk membuat sesuatu yang bermanfaat seperti membina masjid atau surau, tetapi masih belum mampu lagi. Jadi, saya tubuhkan Usrah Suci ini agar ia memberi manfaat kepada masyarakat dan mampu menghapus segala dosa yang pernah saya lakukan dahulu," luahnya.

Qaseh Suci Ramadan.
 
Jika sebelum ini Usrah Suci lebih menjurus kepada kelas agama di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Melawati setiap hujung minggu pada 9 hingga 10.30 malam, Yatt memberitahu, buat julung-julung kalinya mereka menganjurkan sebuah program kebajikan yang diberi nama Qaseh Suci Ramadan.
Bertindak sebagai penaung, Yatt menjelaskan program yang dianjurkan pada 5 Julai lalu bertujuan menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf sempena Ramadan di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang.

"Saya gembira kerana program ini disertai oleh ramai selebriti tempatan dan ia mendapat sokongan dan kerjasama daripada Pusat Pungutan Zakat dan Baitulmal dan kami mengambil tempoh selama seminggu sahaja untuk melakukan persiapan.
"Kalau diikutkan ada seramai 30 selebriti yang akan menyertai program ini, tetapi terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir. Namun begitu, saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama," ujarnya.

Antara barisan selebriti yang menjayakan program berkenaan seperti Heliza Helmi, Norman Hakim, Afdlin Shauki, Norkhiriah, Aida Khalida, Atie AF, Siti Nordiana, Ani Mayuni dan Nuremy Ramli.
Selain penyerahan sumbangan, terdapat beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh Usrah Suci di Masjid Asy-Syakirin seperti Forum Ramadan, majlis berbuka puasa, tazkirah Maghrib dan solat tarawih. (IH)

Lihat lagi.. 


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails