Sunday, July 13, 2014

2 Rakyat Malaysia, 'Digeruni' Di Tk Guantanamo

Masih di dalam tahanan di Teluk Guantanamo: (Dari kiri) Mohamad Nazir, Mohd Farik dan Hambali.

KUALA LUMPUR: Mereka bukan sahaja rakyat Malaysia yang ditahan di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo sejak lapan tahun lalu, malahan kedua-duanya digeruni di pusat itu.

Mohamad Nazir Lep, yang dikenali sebagai Bashir Lap atau Lilie dan Mohd Farik Amin, turut dipanggil Yazid Zubair, dikategorikan sebagai pengganas "amat berbahaya" dan antara 14 'tahanan berharga' di pusat itu.

Menurut dokumen yang diperoleh daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), mereka tidak dibenarkan untuk pembebasan segera dan nasib mereka belum dapat dipastikan. Kedua-duanya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan pada 2003 apabila Mohamad Nazir, 38, ditahan di Thailand dan Mohd Farik, 39, di Kemboja.

Mereka kemudiannya dipindahkan ke Guantanamo pada 4 September 2006. Sumber risikan AS percaya bahawa mereka merupakan sebahagian daripada rancangan berani mati melibatkan pesawat komersial yang dirampas dalam gelombangan serangan kedua selepas kejadian 11 September 2001.

Mohamad Nazir, yang menghadiri sekolah latihan penerbangan, merupakan seorang tahanan yang merancang untuk mengendalikan rampasan pesawat. Dia turut merancang serangan terhadap kedutaan AS, termasuk melakukan perpindahan wang dan senjata kepada anggota kumpulan radikal lain.

Mohd Farik pula didakwa sebagai anggota kanan kepada JI dan al-Qaeda. Pusat Tahanan Teluk Guantanamo, yang turut dirujuk sebagai Guantanamo atau Gitmo, merupakan penjara tentera AS di sebuah pangkalan tentera laut yang menghadap Teluk Guantanamo di Cuba.

Ditubuhkan pada 2002, pusat tahanan itu disifatkan amat berbahaya, dan menempatkan tahanan dari Afghanistan, Iraq, Afrika dan Asia Tenggara. Menurut seorang jurucakap Kedutaan AS di sini, "kedua-dua rakyat Malaysia di Teluk Guantanamo telah dirujuk sebagai berpotensi untuk pendakwaan."

Pegawai itu berkata, sehingga pertuduhan dikenakan terhadap mereka, kes mereka boleh dikaji semula oleh Lembaga Penilaian Berkala.

"Lembaga itu akan menentukan sama ada penahanan mereka perlu diteruskan  bagi melindungi ancaman terhadap Amerika Syarikat," tambah pegawai itu.

Pakar Kriminologi USM, Profesor Madya Dr P. Sundramoorthy berkata, tiada petunjuk bahawa kedua-dua mereka akan dibebaskan kerana AS masih melihat mereka sebagai individu berbahaya dengan kemungkinan akan kembali menyertai dalam militan sekiranya dibebaskan.

"Ia akan menjadi penahanan yang panjang buat mereka," tambahnya.

Difahamkan kedua-dua mereka dibenarkan untuk menghantar surat termasuk gambar, yang akan diperiksa terlebih dahulu, kepada ahli keluarga menerusi Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa.

Dipercayai kedua-dua rakyat Malaysia itu boleh memberikan maklumat berguna kepada AS mengenai kumpulan radikal dan operasinya. Dikatakan mereka disoal siasat oleh Agensi Perisikan Jenayah (CIA) di sebuah kawasan yang tidak diketahui, sebelum dihantar ke Guantanamo.

Laporan menyatakan bahawa Mohamad Nazir dan Mohd Farik disoal siasat di Pulau Diego Garcia, yang merupakan pusat operasi CIA di kawasan terpencil di Lautan Hindi. Selain mereka, seorang rakyat Indonesia, Hambali, 50, yang pernah memiliki taraf permaustatin tetap, turut ditahan di Teluk Guantanamo.

Hambali atau Riduan Isamuddin, merupakan seorang anggota Jemaah Islamiyyah yang mempunyai hubungan secara langsung dengan Osama bin Laden dan dikatakan sebagai orang kanannya di Asia Tenggara. Hambali terlibat dalam kejadian bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.

Isterinya, yang merupakan rakyat Malaysia juga seorang tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). (mStar)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails