Wednesday, July 16, 2014

11 Ahli Parlimen Palestin Ditangkap Askar Zionis Israel



NABLUS: Tentera zionis Israel terus melakukan penindasan terhadap warga Palestin dengan melancarkan kempen memburu Ahli Parlimen Palestin (PLC) dan ahli akademik di Tebing Barat.

Para saksi mendedahkan bahawa tentera Israel menyerbu bandar Salfit dan menahan Ahli Parlimen Dr Omar Abdel Razek, yang juga Menteri Kewangan Palestin. Beliau sebelum ini menghabiskan lebih daripada enam tahun dalam penjara Israel, manakala anaknya telah ditangkap oleh tentera Israel pada pertengahan bulan Jun.

Tentera Israel turut menahan Ahli Parlimen Khaled Said, dari Jenin, dan Ahli Parlimen Ibrahim Dahbour selepas menyerang rumah mereka. Seorang lagi Ahli Parlimen, Dawoud Abu Sir juga ditangkap di rumahnya di Nablus. Beliau sebelum ini juga pernah ditahan di penjara Israel. Pasukan tentera Israel juga turut menyerbu rumah pensyarah Universiti Al-Najah, Dr Abdel-Sattar Qassem.
Ahli Parlimen Fathi Qaraawi dan Riyad Raddad pula ditahan hari ini selepas rumah mereka dipecah masuk di Tulkarem.

Di Ramallah, tentera Israel menahan ahli Parlimen Fadel Hamdan, yang baru beberapa bulan menjalani pembedahan jantung. Tentera Israel turut menahan Ahli Parlimen Riad Omla, dari bandar Kaplan selatan Nablus, dan Ahli Parlimen Mohammed Abu Jehich di rumahnya di bandar Idna selatan al-Khalil.

Ahli Parlimen Nayef Rajoub ditangkap dari rumahnya di bandar Dura petang semalam.
Jumlah tangkapan itu menjadikan seramai 36 ahli parlimen kini dalam tahanan penjara Israel.
Israel melakukan serangan pembunuhan ke atas jalur Gaza sejak Isnin minggu lalu yang mengakibatkan lebih 170 rakyat Palestin syahid, majoritinya orang awam, wanita dan kanak-kanak.
- HARAKAHDAILY 15/7/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails