Saturday, July 19, 2014

PAS N/Sembilan Melawat Mangsa MH17


(Gambar atas: Ustaz Norazman Mohamad (kiri) dan Mohd Taufek Abdul Ghani (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada  ayah Mastura, Mustafa Abdul Samad).

PAROI: Kepimpinan PAS Negeri Sembilan termasuk Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan dan Muslimat PAS Rembau,meluangkan masa menziarahi keluarga salah seorang mangsa pesawat MH17 yang terhempas, dipercayai ditembak pemberontak di Ukraine.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani; Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abdul Rahman; Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sembilan, Mohamad Hassan Tamby; Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Norazman Mohamad dan Ketua Muslimat PAS Rembau, Fauziah Mohd Tahir menziarahi kediaman keluarga pramugari MAS, Mastura Mustafa, 40, di Kampung Sentosa, Paroi.

Ayah kepada Mastura iaitu Mustafa Abdul Samad, 83 berkata beliau sedih kerana ini kali kedua beliau 'kehilangan' anaknya.

(Gambar kanan: Gambar kenangan bersama Mastura bersama arwah ibunya).


"Kali pertama saya 'kehilangan' anak saya yang kelima beberapa tahun lepas. Anak perempuan meninggal dunia kerana sakit strok dan meninggalkan dua anak (cucu). Kini saya kehilangan seorang lagi anak perempuan dan Mastura meninggalkan seorang anak lelaki berumur 10 tahun. Saya redha," kata Mustafa.

Mustafa juga menyatakan kekesalannya apabila pihak MAS masih tidak menghubungi beliau (ketika kepimpinan PAS melawat mustafa), untuk memaklumkan secara rasmi tentang kejadian itu.

"Saya hanya tahu dari anak lelaki saya yang bekerja sebagai jurutera dengan MAS. Itu pun selepas anak saya menghubungi KLIA pada malam kejadian," katanya.

Menurut Mustafa, anaknya Mastura bekerja sebagai pramugari MAS sejak berumur 18 tahun. Mastura merupakan anak bongsu daripada tujuh adik beradik. Mastura dan anak lelaki Mastura sememangnya menetap dengan Mustafa. Ibu Mastura iaitu Rahimah Amrah Ibrahim sudah lama meninggal dunia. Sementara itu Mohd Taufek turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada Mustafa. Kepimpinan PAS turut membacakan doa selamat dan mengadakan tahlil.

Sebelum ini pesawat MAS, MH17 yang berlepas dari Amsterdam, Belanda dan sepatutnya mendarat di KLIA, dipercayai ditembak jatuh oleh pemberontak menggunakan peluru berpandu (surface-to-air-missile) BUK, di Ukraine dan berdekatan dengan sempadan Rusia. Seramai 298 orang termasuk penumpang dan anak kapal MH17 terbunuh. - HARAKAHDAILY 18/7/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails