Monday, July 14, 2014

Hari ke-7, Israel Bunuh 172 Rakyat Palestin.



GAZA CITY: Serangan tentera Israel ke atas Gaza awal pagi Isnin meragut nyawa seorang lagi lelaki dan wanita menjadikan angka kematian meningkat kepada 172, demikian menurut pasukan perubatan.

Kekejaman rejim Israel ke atas Gaza memasuki hari ketujuh hari ini. Kedua-dua mangsa terbaharu itu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan udara Israel pada Ahad, apabila lapan orang terbunuh.

Lewat Ahad, serangan Israel membunuh seorang lelaki berusia 65 tahun di Deir el-Balah, di bahagian selatan, remaja berusia 20 tahun di Rafah berdekatan dengan sempadan Mesir, dan dua lagi di Khan Yunis yang juga terletak di selatan.

Selain itu satu lagi serangan di utara bandar Jabaliya telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra. Tidak lama selepas itu, tentera Israel turut membunuh seorang wanita di kem pelarian Maghazi di tengah Gaza, katanya.

Sementara itu seorang lagi lelaki terbunuh dalam satu serangan di Beit Hanun di utara Gaza. Sebelum itu seorang lagi rakyat Palestin turut dilaporkan mati dalam serangan yang lebih awal, menjadikan jumlah kematian terkini ialah 172 orang. (mStar)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails