Tuesday, July 15, 2014

Israel Tangguh Serangan Darat - AFP

SEBUAH kereta kebal Israel yang ditempatkan di sempadan Genting Gaza melepaskan bedilan ke arah wilayah Palestin semalam. 

BAITULMUQADDIS - Israel terus membedil Gaza semalam tetapi menangguh untuk melancarkan serangan darat ketika masyarakat dunia meningkatkan usaha ke arah gencatan senjata.

Ketika kempen ketenteraan Israel untuk memusnahkan bedilan roket Hamas masuk hari ketujuh semalam, Presiden Palestin, Mahmud Abbas dijadual membincangkan langkah untuk mendesak campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada pertemuan tergempar menteri luar Arab di Kaherah.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pula mendesak Israel agar membatalkan rancangan untuk melancarkan serangan darat.

"Terlalu ramai penduduk awam Palestin telah terbunuh," kata Ki-moon.

Setakat semalam, kempen serangan udara rejim Zionis meragut lebih 172 nyawa manakala sekurang-kurangnya 1,230 orang cedera. Dalam pada itu, Israel masih belum memutuskan untuk melancarkan serangan darat walaupun melakukan persediaan rapi untuk menceroboh Gaza.

Media Yahudi melaporkan, menteri-menteri Israel menolak untuk menghantar tentera ke Gaza pada satu mesyuarat Kabinet kelmarin. Sementara itu, jet pejuang rejim Zionis membedil lebih 40 lokasi di Genting Gaza dalam tempoh semalaman. Beberapa pegawai perubatan berkata, serangan itu mengenai tiga fasiliti latihan yang digunakan oleh sayap bersenjata Hamas dan menyebabkan dua orang terbunuh.

Rejim Zionis turut membedil bandar Beit Lahiya, utara Gaza selepas memberi amaran kepada penduduknya supaya berpindah kelmarin. Beribu-ribu penduduk bandar itu melarikan diri dari kediaman mereka susulan amaran rejim Zionis itu. Awal semalam, tentera Israel menggunakan peluru berpandu Patriot untuk menembak jatuh sebuah pesawat dron Palestin yang dipercayai membawa bom untuk menyerang Israel. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails