Friday, July 18, 2014

Tip Memandu Secara Sunah -D/Ulama PAS W/P.




KUALA LUMPUR: Lebih kurang seminggu lagi sambutan Aidilfitri akan diraikan umat Islam seluruh negara. Meskipun masih awal kebanyakan warga kota sudah mula membuat persiapan untuk pulang ke kampung halaman.

Bagi Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan, pihaknya turut mengambil inisiatif dengan melancarkan kempen memandu cara sunah.  Kempen ini akan diadakan dengan sebaran risalah yang mengandungi tips memandu dengan selamat dan tawakal kepada Allah.

Mengulas kempen itu Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, kempen ini diadakan untuk memberikan peringatan kepada semua pengguna kenderaan agar tidak lupa untuk bergantung harap kepadaNya.

"Jika difikirkan mengapakah doa menaiki kenderaan ini disyariatkan ketika kenderaan di zaman tersebut amat mustahil akan berlakunya kemalangan.
"Pelik jika berlakunya keldai atau unta yang ditunggang akan berlanggar. Namun kita diajar untuk membacakan doa tersebut bahkan pelbagai lagi doa-doa yang ma’tsur," katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, selamatnya satu-satu perjalanan adalah itu adalah dengan rahmat Allah.  Dengan kenderaan semakin canggih dan boleh bergerak lebih laju, sudah pasti katanya lebih memerlukan pergantungan kepada Allah.

"Namun jangan kita lupakan keperluan dan persiapan lain seperti memeriksa tayar, brek yang baik, rehat apabila mengantuk dan sebagainya.
"Jika segalanya telah lengkap tetapi masih lagi berlakunya kemalangan maka barulah ketika itu kita katakan ini sudah suratan takdir," katanya lagi.

Menurut beliau, setiap tahun angka kemalangan sempena cuti perayaan terus meningkat biarpun pelbagai kempen dibuat. Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dan mencuba 'resepi Rabbani' dengan meletakkan pengharapan kepada Allah.

"InsyaAllah, kita akan perhebatkan lagi kempen ini dengan mengedarkan risalah atau flyers di tol-tol berdekatan," katanya. - HARAKAHDAILY 17/7/2014

* Penulis adalah pelajar KUIZM yang sedang menjalani latihan amali di Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails