Saturday, July 19, 2014

MAS Sahkan Identiti 16 Lagi Penumpang




MH370


KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan kewarganegaraan 16 lagi penumpang MH17 yang terhempas di Ukraine.

MAS dalam kenyataannya di sini berkata dengan pengesahan terkini itu, pecahan penumpang mengikut kewarganegaraan ialah Belanda (189), Malaysia (44), Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (9), Belgium (4), Jerman (4), Filipina (3), Kanada (1) dan New Zealand (1).

"Baki empat penumpang belum lagi disahkan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu susulan insiden tersebut, MAS kini tidak lagi terbang di ruang udara Ukraine, sebaliknya mengikuti laluan jauh ke selatan melintasi Turki.

Kenyataan berkenaan juga menyebut MH17 memohon untuk terbang pada ketinggian 35,000 kaki ketika melintasi ruang udara Ukraine dan ketinggian itu menghampiri ketinggian optimum.

"Bagaimanapun, ketinggian penerbangan sesebuah pesawat ditentukan oleh menara kawalan. Ketika memasuki ruang udara Ukraine, MH17 diarah oleh menara kawalan trafik udara Ukraine untuk terbang pada ketinggian 33,000 kaki," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelan penerbangan MH17 diluluskan oleh Eurocontrol yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengatur laluan penerbangan di ruang udara Eropah.

Eurocontrol merupakan penyedia perkhidmatan navigasi udara bagi Eropah dan ditadbir di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kata kenyataan itu.

"Laluan di ruang udara Ukraine, lokasi berlaku nahas, merupakan laluan biasa untuk penerbangan Asia ke Eropah.

"Pesawat dari syarikat penerbangan lain juga sedang menggunakan laluan itu ketika insiden MH17 berlaku, dan beberapa lagi penerbangan oleh syarikat lain turut menggunakan laluan itu pada hari-hari dan minggu-minggu sebelum ini," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menyebut Eurocontrol menyimpan rekod semua penerbangan yang melintasi ruang udara Eropah termasuk Ukraine.

Menurut kenyataan itu lagi pada April lalu, ICAO mengenal pasti satu kawasan di semenanjung Crimea sebagai berisiko.

"MH17 tidak pernah terbang atau memohon untuk terbang memasuki kawasan itu. MH17 pada sepanjang masa terbang di ruang udara yang diluluskan oleh ICAO," kata kenyataan tersebut.

MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Pesawat milik Malaysia Airlines itu terhempas di Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.

Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu tempatan) Khamis dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 6.10 pagi Jumaat waktu Malaysia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails