Friday, July 18, 2014

Ribuan Bantah Rejim Zionis Di Kedutaan AS.


KUALA LUMPUR: Ribuan umat Islam hari ini berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman sekutunya rejim Zionis Israel yang sedang meratah nyawa rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Himpunan anjuran Pemuda PAS Malaysia bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam itu bermula di sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan Masjid As-Syakirin, KLCC sebelum berarak ke bangunan kedutaan.

Rata-rata mereka membawa kain rentang dan plakad mengutuk kekejaman tentera rejim yang membunuh rakyat Palestin tanpa perikemanusiaan.
Mereka turut berarak sambil menjunjung bendera Palestin bersaiz besar.

Serangan tentera rejim Zionis ke atas Gaza masuk hari ke-12 hari ini di mana mereka mula melakukan serangan darat di samping serangan udara dan laut.

Israel mengerahkan 56,000 tentera darat mereka, lengkap dengan senjata berat menyerang Gaza bermula petang semalam.

Sehingga kini jumlah gugur syahid di Gaza mencecah 240 orang manakala 1770 lagi cedera.

Majoriti mereka adalah orang awam terdiri daripada orang tua, wanita dan kanak-kanak. - HARAKAHDAILY 18/7/2014

Pasukan darat Israel Pasukan darat Israel  (REUTERS/Amir Cohen)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails