Saturday, July 19, 2014

Kes Latih Militan Ke Mahkamah Tinggi KL


DUA anggota polis membawa keluar Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi (tengah) yang menghadapi tuduhan memberi latihan ketenteraan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, semalam.-BERNAMA

KUALA KANGSAR 18 Julai - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan kes seorang pengusaha ladang kelapa sawit yang menghadapi tuduhan memberi latihan ketenteraan kepada orang yang bersedia melibatkan diri dalam perbuatan pengganas, Disember tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majistret Noordura Mohamed Din memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar memohon kes terhadap Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 30, dipindahkan ke mahkamah tersebut mengikut peruntukan seksyen 12 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurut Shukor, Ketua Hakim Negara telah mengarahkan segala kesalahan yang berkaitan isu keselamatan mengikut seksyen tersebut dibicarakan di mahkamah tinggi berkenaan.
  • "Ini kerana hanya di Kuala Lumpur terdapat sebuah mahkamah tinggi khas untuk membicarakan kes-kes keselamatan seperti itu. Justeru saya memohon kes dipindahkan ke sana.
  • "Saya juga memohon supaya tertuduh yang kini ditahan di Penjara Taiping dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh untuk memastikan kelancaran prosiding pendakwaan selepas ini," katanya.
Tarikh sebutan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi masih belum ditetapkan.
Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 11 Julai lalu, tiada pengakuan direkodkan daripada Muamar Gadaffi yang diwakili peguam Mohd. Fitri Asmuni.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk memajukan sesuatu tujuan ideologi dan perbuatan yang boleh dianggap untuk mengugut orang awam di Syria di antara kira-kira pukul 2 petang dan 4 petang, 25 hingga 27 Disember tahun lalu di Bukit Ara Para, Kampung Ketior dekat sini.

Pertuduhan terhadapnya yang diberkas di Sandakan, Sabah dikemukakan mengikut Seksyen 130F(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Pada tarikh yang sama, dua rakannya, Mohamad Amin Abdul Rahman, 29, dan Abd. Rahaman Ramli, 46, masing-masing bekerja sebagai penoreh getah turut didakwa kerana memiliki dua laras senapang dan 504 butir peluru hidup pelbagai saiz dan jenis.

Mohamad Amin didakwa atas lima pertuduhan manakala Abd. Rahaman dengan tiga pertuduhan, masing-masing mengaku bersalah atas semua tuduhan dan Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Hassan menetapkan 25 Julai ini untuk fakta kes dikemukakan sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka berdua.

Menurut laporan akhbar, ketiga-tiga mereka ditahan pada 13, 18 dan 25 Jun lalu oleh anggota polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman kerana disyaki menghasilkan raifal buatan sendiri serta membekalkan peluru kepada anasir-anasir militan untuk menjalani latihan menembak di Gunung Arang Para, Kampung Nyior Ketior, Kuala Kangsar, pada Disember tahun lalu. (UO)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails