Thursday, July 10, 2014

Gaza: PAS Seru Solat Hajat, Qunut Nazilah





KUALA LUMPUR: PAS mengecam keras tindakan kejam tentera zionis Israel yang membedil penempatan rakyat Palestin sejak minggu lalu sehingga mengakibatkan puluhan syahid termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS melahirkan rasa dukacita dan simpati yang tinggi di atas apa yang menimpa saudara Islam di Palestin.

Sehubungan itu katanya, PAS mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama mendoakan keselamatan rakyat Palestin ketika ini.

"Kita minta supaya semua majlis kita khususnya Tarawih untuk baca Qunut Nazilah. Walaupun tradisi qunut selepas hari 15, tapi kita minta terus buat.
"Kita adakan solat hajat khas mendoakan keselamatan saudara kita dan semoga Allah hancurkan kejahatan musuhnya," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu, PAS juga ujarnya membantah sikap membisu kuasa-kuasa besar dunia yang seperti merelakan pembunuhan berlaku di hadapan mata. Tegasnya, tanpa sebarang tekanan dari kuasa-kuasa besar ini maka lebih ramai jiwa akan terkorban di bumi Gaza itu.

"Kita akan mengadakan satu himpunan bagi membantah kekejaman Israel dan sikap membisu kuasa-kuasa besar dunia terhadap apa berlaku di Gaza," tambah beliau lagi.

Bagaimanapun tarikh perhimpunan itu ujarnya akan dimaklumkan dalam masa terdekat. Dalam pada itu, PAS juga turut melancarkan tabung khas bagi membantu saudara Islam di sana. - HARAKAHDAILY 10/7/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails