
JAKARTA - Calon Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dengan gelaran Jokowi kembali mendapat momentum menjelang pilihan raya Presiden yang berlangsung pada hari ini.
Satu tinjauan pendapat terbaharu mendapati sokongan ke atas Jokowi, 53, meningkat selepas prestasinya menjunam baru-baru ini.
Menurut keputusan satu tinjauan pendapat yang disiarkan malam kelmarin, gabenor Jakarta itu mendapat 51 peratus sokongan rakyat Indonesia berbanding 43.4 peratus sokongan yang diperoleh saingannya, bekas jeneral Prabowo Subianto.
Pihak yang melakukan tinjauan pendapat tersebut ialah Sekolah Kerajaan Sugeng Sarjadi (SSSG).
Pada tinjauan itu, hampir enam peratus daripada 1,250 responden yang ditemui masih berdiri di atas pagar.
"Sokongan ke atas Jokowi meningkat semula ekoran persembahan kukuhnya pada siri debat Presiden," kata Pengarah Eksekutif SSSG, Fadjroel Rachman.
Satu lagi tinjauan pendapat yang disiarkan Kumpulan Kaji Selidik Indonesia menyatakan, Jokowi mencatat populariti 47.8 peratus berbanding 44.2 peratus yang diperoleh Prabowo.

Dalam pada itu, Jokowi menggunakan tempoh bertenang selama tiga hari menjelang pilihan raya berkenaan untuk mengerjakan umrah di Mekah. Stesen televisyen Indonesia menyiarkan rakaman yang menunjukkan Jokowi bersolat berhampiran Kaabah bersama beribu-ribu orang penganut Islam di Mekah.
Lebih 190 juta rakyat layak untuk mengundi pada hari ini di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu selepas India dan Amerika Syarikat. - dpa
No comments:
Post a Comment