Tuesday, July 08, 2014

Belasungkawa: Hati Ustaz Latif Kekal Bersama PAS




“ORANG boleh buang (keahlian) ana daripada PAS, tapi orang takkan boleh buang PAS daripada dalam hati ana,” demikian penegasan bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Almarhum Ustaz Abdul Latif Muhammad.

Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan kecintaan dan iltizam beliau yang sangat tinggi terhadap parti ini. Pertautan hatinya dengan PAS tersangat erat. Bahkan sewaktu berada di puncak kepimpinan parti, nama beliau seakan sinonim dengan PAS Besut.

Kini, Ustaz Abdul Latif sudah tidak lagi bersama kita. Awal pagi Rabu, 25 Jun 2014, beliau dijemput pulang oleh Allah Taala setelah sekian lama menderita akibat serangan angin ahmar.

Abdul Latif Muhammad dilahirkan pada 1940 dalam sebuah keluarga pesawah di Kampung Pulau Berangan, Besut. Ayahnya, Haji Muhammad bin Husin menghantarnya mengaji di Pondok Alor Keladi, Besut.

Berbekalkan ilmu ditimba di situ, beliau turun ke tengah masyarakat menyampaikan pengajaran Islam. Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 menjadi titik tolak penting karier politik Ustaz Abdul Latif. Beliau dipilih menjadi calon PAS bagi kerusi Dun Setiu, tetapi tidak menang.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, di Nilam Puri.

Ustaz Abdul Latif selepas itu mula diberikan amanah kepimpinan dalam parti. Jawatan pertama beliau ialah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut (975-77).

Dalam tempoh itu, beliau dikatakan sempat melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Uloom, Deoband, India sebelum memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Syariah wal Qanun.

Pada PRU 1978, beliau dipertaruhkan PAS menentang calon BN di kerusi Dun Ulu Besut, tetapi kalah.

Lebih kurang pada masa sama berlaku ledakan kebangkitan Islam serata dunia. Negara kita turut dilanda gelombang kesedaran akidah itu. Umat Islam dilontarkan dengan persoalan batas-batas iman dan kufur, yang akhirnya mencetuskan polemik isu kafir-mengkafir.

Tokoh utama di tengah-tengah polemik ini di Terengganu ialah Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Rusila), Tuan Guru Awang Nasruddin Abu Bakar (Batu Enam), Ustaz Stimat @ Muhammad Jusoh (Kerandang) dan Ustaz Abdul Latif Muhammad (Jertih). Ketegasan mereka menjulang isu akidah ini nyata menggerunkan BN.

Ustaz Abdul Latif seterusnya diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, selama dua penggal (1979-83).

Pada PRU 1982, Ustaz bertanding di Dun Bukit Kenak. Biar pun tewas, semangat juangnya semakin mencanak. Susun atur strategi dan gerak kerja parti semakin diperhebatkannya. Hal itu dikatakan amat membimbangkan BN dan dianggap punca utama Ustaz Abdul Latif terpaksa “direhatkan”. Pada 1983, beliau ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dibuang daerah ke Sitiawan, Perak.

Mungkin BN menjangka beliau akan kendur selepas dibebaskan. Namun perkara sebaliknya yang berlaku. Sambutan masyarakat terhadap Ustaz Abdul Latif semakin hebat. Justeru, pada PRU 1986, parti menggandakan amanah kepada beliau untuk bertanding di dua kerusi – Parlimen Besut dan Dun Kuala Besut.

Sejarah selepas PRU 1982 berulang lagi. Meskipun tewas, kesungguhannya mempertingkatkan gerak kerja parti amat mencabar BN. Maka, menerusi Operasi Lalang 1987, Ustaz Abdul Latif ditahan di bawah ISA pula.

Namun, semakin ditekan dan dizalimi, semakin dia mendapat simpati dan sanjungan masyarakat. Ustaz bagaikan telah “menakluk” jiwa para pejuang di Besut ketika itu. Maka sejurus dibebaskan dari cengkaman akta zalim itu, Ustaz diangkat menerajui PAS Kawasan Besut. Beliau menjadi Yang Dipertua selama sedekad (1988-98). Di masa sama beliau turut aktif sebagai AJK Dewan Ulama PAS Pusat.

Pengorbanan beliau sedikit “terbayar” pada PRU 1990. Ustaz berjaya menewaskan BN di DunJertih, sekaligus menamatkan kemarau empat penggal tanpa kerusi di Besut. Kerusi itu bagaimana pun gagal dipertahankan pada PRU 1995.

Tahun 1998 merupakan “Tahun Dukacita” buat PAS Besut, terutama Ustaz Abdul Latif. Di atas beberapa faktor munasabah, PAS Pusat mengambil keputusan menggantung pentadbiran PAS Besut. Para penyokong kuat Ustaz tidak dapat menerima tindakan itu. Mereka melakukan beberapa tindakan yang tambah mengeruh dan menegangkan suasana.

Akhirnya, PAS Pusat tiada pilihan melainkan memecat Ustaz Abdul Latif dan beberapa bekas pemimpin PAS Besut lain. Bermula saat itulah, kariernya di dalam parti terus malap. Beliau malah dilihat muncul di pentas BN beberapa kali.

Namun, bak kata orang-orang tua, “biduk lalu, kiambang bertaut”, begitulah juga perihal Ustaz dan PAS. Hanya sejurus selepas PRU 2004, dan setelah melihat kejatuhan kerajaan PAS Terengganu, mula kedengaran kekesalan dari kalangan penyokong kuat Ustaz.

Alhamdulillah, menjelang PRU 2008, Ustaz Abdul Latif mengisytiharkan dirinya sudah bersedia kembali ke pangkuan PAS. Bagi membuktikan kesungguhan itu, beliau malah menjemput kepimpinan tertinggi parti membuat program besar di pekarangan rumahnya.

Semangat dan kesetiaan itu dipercayai beliau pegang hingga ke akhir hayatnya. Sekalung doa keampunan dan kerahmatan Allah buat penakluk jiwa pejuang ini. - HARAKAHDAILY, 7/7/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails