Monday, July 07, 2014

PAS Bantah Pusat Judi Lumba Kuda Hulu S'gor



KUALA LUMPUR: PAS sebagai sebuah parti Islam sama sekali tidak akan bersetuju dengan pembinaan pusat judi lumba kuda yang dipohon untuk dibina di Hulu Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya telahpun menerima maklumbalas dari ahli-ahli dan masyarakat Islam yang menentang pembinaan itu.

"Wakil-wakil PAS di dalam kerajaan pula sentiasa konsisten dengan pendirian tidak bersetuju dengan projek yang boleh memudaratkan itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily

Beliau turut mengakui isu permohonan pembinaan pusat judi ini boleh memecahkan Pakatan Rakyat di Selangor jika diluluskan,

"Walau bagaimanapun saya yakin isu ini akan dapat diselesaikan dengan kerajaan negeri mengambil kira pandangan rakyat," tegasnya.

Beliau juga menggesa agar masyarakat Islam supaya bersabar kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin kepada hasrat rakyat.

Difahamkan pusat lumba kuda tersebut akan dibina di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Sebelum ini, PAS Hulu Selangor turut mengadakan bantahan dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail berhubung pembinaan pusat judi lumba kuda berkenaan. - HARAKAHDAILY 7/7/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails