Wednesday, July 09, 2014

Judi: K/BN Lihat Haram Dari Sudut Lesen. Judi Halal? -Siti Zailah

oleh MUSLIHAH MOHD AMIR



KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat menyambut baik hasrat kerajaan untuk memerangi aktiviti 'judi haram' seperti yang sedang digerakkan oleh semua agensi penguat kuasa ketika ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) bagaimanapun berkata, pihak kerajaan seharusnya juga menilai semula 'judi halal' yang diluluskan lesen oleh Kementerian Kewangan.

Beliau menegaskan, Islam sama sekali mengharamkan perjudian sama ada berlesen atau pun tidak dan tindakan kerajaan yang meluluskan lesen judi perlu diteliti semula.

“Kerajaan harus menilai semula lesen judi yang berleluasa secara sah di Malaysia apakah perkara itu tidak haram dari sudut Islam?
"Kenapa kita hanya melihat haram dari sudut lesen tetapi tidak peduli dan memandang enteng hukum haram dari sudut syariat," katanya kepada Harakahdaily.

Malahan katanya, lebih malang jika hasil judi atau apa sahaja sumber daripada hasil pendapatan negara yang halal dicampuradukkan dalam akaun yang sama.

“Ini jawapan yang di terima di parlimen, hasil judi diletakkan dalam akaun yang sama. Perdana Menteri selalu menyeru supaya rakyat Malaysia menghayati Al-quran.
"Jadi sejauh mana dasar pentadbiran Negara bersesuaian dengan al-quran," soalnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Justeru, beliau menggesa pihak kerajaan agar mengasingkan hasil sumber judi di akaun yang berbeza agar tidak bercampur dengan hasil halal yang lain.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang di keluarkan oleh Menteri dalam negeri Datuk Zahid Hamidi dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan akan menggempur premis perjudian haram di seluruh negeri. - HARAKAHDAILY 9/7/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails