Monday, June 30, 2014

Merakyatkan Perjuangan, Ramadhan Bulan Jihad.

.Oleh SATIFUL BAHRI MAMAT
 




BADAN Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mendoakan agar seluruh umat Islam dipanjangkan usia dan sempat dengan kedatangan Ramadhan pada setiap tahun untuk mengecapi ‘barakah’ serta nikmat kurniaan Tuhan yang melimpah-ruah yang diberikan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya Ramadhan yang datang menjadi tetamu yang membawa rahmat dan keampunan dan kami mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana pada tahun ini, sekali lagi Allah memilih kita untuk mengecapinya.

Semoga rahmat melingkari kehidupan kita di dunia serta melimpahi kita hingga ke akhirat. Segala noda dan dosa kita diampuni dan dibersihkan, umpama kain yang putih atau umpama bayi yang baru dilahirkan.

Ramadhan juga adalah bulan taubat dan bulan bagi meninggalkan segala maksiat. Kami menyeru kepada semua, ambillah kesempatan untuk meninggalkan segala amalan buruk dari sekecil-kecil dosa sehingga yang besarnya.

Tinggalkanlah segala 'makar' seperti mencuri, berzina, minum arak, khianat, rasuah, salah guna kuasa mahu pun syirik kepada Yang Maha Kuasa.

Ramadhan juga merupakan bulan ibadat, maka rebutlah setiap detik dan saat, dengan gandaan pahala yang melimpah. Carilah malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu 'Lailatulqadr' yang pastinya ada keredhaan Allah padanya menanti.

Dekatilah Tuhanmu di dalam bulan yang mulia ini seolah-olah inilah kesempatan terakhir bagi kita. Jadikanlah malamnya umpama pendita, manfaatkan siangnya sebagai tentera berkuda.

Ramadhan yang akan datang kepada kita ini juga adalah bulan al-Quran. Dekatilah diri kita dengan wahyu Allah. Fahamilah dan marilah kita sama-sama menghayati, satu-satunya mukjizat yang masih bersama dengan kita. Bukan sekadar diperlagu dan dipertandingkan tetapi berusaha untuk menegakkan dan mendaulatkannya serta dilaksanakan akan segala syariatnya.

Ramadhan al-karim jua adalah bulan Jihad. Jika Rasulullah SAW berjihad di dalam medan Badar pada bulan Ramadhan, menggali parit dalam perang Khandak membentengi Madinah, dan membuka Kota Mekah. Dan kalau para sahabat menunggu Ramadhan untuk membuka Parsi dan Rom, Salahuddin al-Ayyubi membuka Palestin dan Al-Fateh membuka Constantinople, maka rebutlah peluang Ramadhan untuk berdakwah, menyampaikan mesej Islam, menyatukan lapisan masyarakat dengan kebajikan jamaah, merakyatkan perjuangan, menyantuni para musafir dan perantau untuk didekati dengan jihad kita semua.

Serlahkan wajah Islamiyyah sebenar secara aman dan damai. Tingkatkan 'amal jamaie' dan sebarkan cahaya Islam ke seluruh pelosok dunia. Panjatkan doa buat para mujahid dan kepada sesiapa sahaja yang memperjuangkan agamanya sebagai jihad fi sabilillah.

Allah juga menjanjikan, Ramadhan adalah bulan pembebasan daripada azab Allah. Dunia ini yang terlalu singkat masanya dengan 'halwa' serta fitnahnya bersemarak di setiap penjuru.

Semoga kita tidak terjebak segala tipu daya hawa nafsu dan tidak terhalang akan dengan segala mehnahnya. Beruntunglah apabila berlalu sudah Ramadhan nanti, setiap insan dibebaskan daripada azab. Celakalah apabila berlalunya Ramadhan, kita terbelenggu dan tidak terlepas daripada api neraka.

Semoga Allah SWT mempermudahkan buat kita dan semua terpelihara oleh-Nya. Amin...

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Adun Paka.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails