Wednesday, July 02, 2014

Siapa Dapat Faedah Pembinaan 6 L/Raya Di S'ngor?



OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Siapakah yang mendapat faedahnya?
Itulah soalan yang ditanyakan penduduk, kehidupan siapakah berubah dengan pembinaan enam lebuh raya baru yang dirancang di Selangor.

Setakat ini, empat projek itu - Lebuhraya Sungai Besi-Hulu Klang (SUKE), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan yang terbaru Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) mengundang kemarahan pembangkang dan penduduk di Cheras, Kota Damansara, Ampang dan Petaling Jaya.

Penduduk berkata tiga daripada lebuh raya itu akan memberi kesan kepada penempatan penduduk dan menggantikan mereka kepada penempatan seperti awal 1950-an.
Ia juga akan mencemarkan kejiranan, membahayakan pejalan kaki semasa proses pembinaan dan merosakkan jalan.

EKVE dijangka memberi kesan paling banyak kerana ia akan mengganggu kawasan hutan simpan yang menjadi bekalan air bersih kepada penduduk Selangor.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang mencadangkan lebuh raya berkenaan berkata pembinaannya adalah untuk keselesaan pengguna jalan raya pada masa depan.

Namun tiada sesiapa yang bersetuju dengan kenyataan itu kecuali kerajaan negeri Selangor.
Berdasarkan banyak taklimat, himpunan dan sidang media yang mengundang kemarahan penduduk – kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dilihat gagal menunaikan janjinya.

Jika kontroversi ini tidak diuruskan dengan baik, ia akan mencemarkan reputasi PR sekali gus menjadi model pentadbiran PR pada masa akan datang.

Latar belakang

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata enam lebuh raya berkenaan adalah sebagai rangkaian bersepadu demi memenuhi kehendak pengguna jalan raya di Lembah Klang. Semua lebuh raya itu bertol dan diluluskan LLM. Pelannya ditunjukkan kepada kerajaan negeri oleh LLM pada 25 Jun.

Melihatkan kepada bantahan penduduk beberapa tahun kebelakangan ini terhadap pembinaan tiga lebuh raya itu, cabaran seterusnya adalah pelan secara holistik sebelum ia dimulakan. Dalam kes DASH, SUKE, dan EKVE, penduduk berkata mereka bangun pada waktu pagi dan melihat projek mega berada di depan pagar rumah mereka.

Tiada lebuh raya berkenaan termasuk dalam pelan kerajaan tempatan di Kota Damansara, Petaling Jaya dan Cheras. Pelan ini tidak termasuk dalam pembangunan masa kini dan mada depan kawasan berkenaan. Jika ia tidak termasuk dalam pelan tempatan, ia tidak boleh dibina tanpa mendapat pandangan penduduk untuk meminda pelan tersebut, kata ahli Parlimen Subang R Sivarasa.

Ahli jawatankuasa penduduk J Colin M Stuart mahukan SUKE mengkaji semula pembinaannya kerana dalam pelan pembangunan rumah mereka di Bukit Manda'rina, Cheras tidak pernah dinyatakan akan ada lebuh raya dibina di kawasan itu.

"Kami tidak pernah dimaklumkan pemaju. Jika kami tahu, pasti kami tidak beli rumah ini," kata Stuart daripada kumpulan Tak Nak SUKE yang pernah berhimpun membantah projek itu pada 2012.

Dalam pelan terbarunya, SUKE akan merentasi Taman Bukit Cheras, Taman Len Seng serta Taman Bukit Manda’rina dan ada di antara perumahan itu wujud sejak 1970-an lagi. Menurut laporan akhbar pada Oktober 2013, SUKE dibina Prolintas Sdn Bhd dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan di MRR2.

Lebuh raya enam lorong itu akan bermula di Sri Petaling sebelum merentasi Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Taman Bukit Permai, Taman Putra, Taman Permai Jaya, Taman Dagang Permai, Taman Kosas, Ampang dan Taman Hillview sebelum berakhir di Hulu Klang.

Sama kisahnya kepada DASH dan Kidex. Penduduk mendakwa mereka seperti ahli jawatankuasa yang sudah tidak didengar dan pandangan mereka ditolak ke tepi. Selain itu, Khalid mendakwa rangkaian lebuhraya LLM merupakan satu keperluan ekoran peningkatan bilangan kenderaan di Lembah Klang.

Kidex sebagai contoh, sepatutnya menjadi alternatif kepada kesesakan  Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) kerana suatu masa dahulu pemajunya mendakwa pembinaan lebuh raya itu dapat membantu pergerakan pengguna jalan raya dari Puchong ke selatan dan Bandar Utama ke utara.
Prolintas yang merupakan pemaju DASH mendakwa, lebuh raya berkenaan akan menyokong peningkatan bilangan kenderaan di kawasan U10 Shah Alam, Kota Damansara dan kawasan berhampiran.

Dalam satu laporan akhbar tahun lalu, EKVE dijangka memberi jalan pintas kepada pengguna jalan raya dari selatan Lembah Klang untuk menuju ke Selayang, Gombak dan Lebuhraya Karak tanpa melalui Kuala Lumpur.

Kesan

Dalam janjinya untuk menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), PR selalu berazam melakukan sesuatu dasar secara berkesan. Mereka akan berunding dengan penduduk di kawasan yang terjejas. Namun kurang mendapat nasihat yang sesuai menjadikan bantahan terhadap DASH, Kidex, SUKE dan EKVE berulang.

Dalam kes EKVE, Yayasan Hidupan Liar Malaysia (WWF) berkata pembinaan lebuh raya merentasi hutan simpan merentasi Ampang dan Ulu Gombak bercanggah dengan janji yang dibuat PR dan BN.
Menurut Pelan Fizikal Kebangsaan 2, tiada pembangunan, pembalakan atau pertanian dibenarkan di kawasan perlindungan di mana hutan simpan Ampang dan Ulu Gombak termasuk dalam kawasannya.

“Mengukuhkan usaha memelihara dan memulihara hutan sebagai kawasan tadahan air merupakan salah satu manifesto Pakatan Rakyat semasa pilihan raya umum lalu,” kata WWF Malaysia.

Siapa yang mendapat faedah

Selain Kidex, tiga lebuh raya lain belum menyediakan laporan awam berhubung kaedah yang mereka lakukan bagi mengurangkan kesesakan. Malah, dalam kes Kidex, ahli Parlimen DAP mendakwa terpaksa mendapat salinan awal Penilaian Kesan Trafik (TIA) daripada pihak tertentu.

Penduduk juga mendapati sukar untuk mendapatkan laporan kesan sosial (SIA) dan persekitaran (EIA).Dalam kes EKVE, ia akan mengganggu sistem tadahan air terutama apabila berlaku musim kemarau. Taman negeri Selangor yang terdiri daripada hutan simpan Ampang dan Ulu Gombak membekalkan 90% sumber air kepada penduduk Selangor.

“Sediakan dana bagi mencari sumber air baru dan pada masa sama menghalang kawasan tadahan air, tak masuk akal,” kata penganalisis dasar gunaan tanah WWF Malaysia Sarada Srinivasan.
Sivarasa percaya kebanyakan kontroversi yang timbul berhubung pembinaan enam projek lebuh raya ini kerana kerajaan negeri memberikan persepsi lebuh raya berkenaan akan tetap dibina walau apa jua yang berlaku.

Padahal, kelulusan akhir lebuh raya berkenaan merupakan proses panjang kerana pemaju masih dalam proses menyediakan laporan. Sarada berkata, apabila laporan itu dihantar ke kerajaan tempatan, langkah menilai projek berkenaan akan bermula. – 2 Julai, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails