Friday, July 04, 2014

PAS Bantu 'Dapur Dalanan' Beri Makanan Kepada Si Miskin




PAS arah Unit Amal bantu bersihkan kawasan dapur jalanan selepas selesai aktiviti edar makanan percuma kepada gelandangan, kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar fail The Malaysian Insider. PAS arah Unit Amal bantu bersihkan kawasan dapur jalanan selepas selesai aktiviti edar makanan percuma kepada gelandangan, kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar fail The Malaysian Insider.
















PAS mengarahkan badan kebajikan dan sukarela di bawah parti itu, Unit Amal membantu dapur jalanan (soup kitchen) untuk terus menjalankan tugasnya membantu golongan miskin dan gelandangan di ibu kota mendapat makanan percuma.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Unit Amal boleh membantu badan kebajikan itu untuk membersihkan kawasan digunakan soup kitchen untuk memastikan orang susah dapat terus diberi bantuan daripada mereka yang sudi membantu.

Tuan Ibrahim berkata, beliau kesal dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyalahkan usaha murni dilakukan soup kitchen memberikan makanan kepada golongan tidak berumah di Kuala Lumpur sebagai faktor menjejaskan imej bandar raya Kuala Lumpur.

"Lebih elok jika Tengku Adnan mencadangkan agar dalam lingkungan 2km daripada pusat beli-belah Lot 10 digazetkan sebagai kawasan bebas penjenayah, kongsi gelap, tandas kotor dan jalan berlubang.
"Itu sebenarnya lebih membantu menaikkan imej bandaraya Kuala Lumpur daripada menghalang aktiviti kebajikan yang dilakukan oleh soup kitchen," kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan perlu peka ramai rakyat yang hidup susah di Kuala Lumpur.

"Betul, imej Kuala Lumpur perlu dijaga tetapi bukan dengan menghalang aktiviti kebajikan, sebaliknya aktiviti jenayah," katanya.

Tuan Ibrahim turut memetik sepotong hadis yang bermaksud,
  • "Sesiapa yang melapangkan atau menolong seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan dunia nescaya Allah akan melapangkan atau menolong baginya daripada kesusahan-kesusahan hari qiamat. Dan sesiapa memudahkan atas orang yang sedang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkan baginya kesusahan-kesusahan di dunia dan juga di akhirat."

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya berganding tangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dengan soup kitchen dan bukan menghalau mereka.
Beliau berkata, jika kebersihan menjadi satu masalah kepada Tengku Adnan, beliau sepatutnya mengarahkan DBKL membantu membersihkan kawasan yang digunakan selepas habis aktiviti kebajikan mereka, seperti perkhidmatan yang diberikan kepada kawasan pasar dan pasar malam sekitar ibu kota.

"Mungkin dengan kerjasama DBKL, aktiviti soup kitchen juga boleh berubah menjadi satu kawasan tarikan pelancong yang menguntungkan warga KL," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS mencadangkan Tengku Adnan turun sendiri melihat warga kota yang susah. Beliau berkata, PAS turut memberi makanan percuma kepada rakyat yang susah tanpa mengira latar belakang dari Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut secara berkala. – 4 Julai, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails