Tuesday, April 30, 2019

Di Mana Islam Dalam Polemik Perlembagaan -Presiden PAS


SAYA penganut Islam yang beriman, oleh yang demikian menafsirkan Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jiwa merdeka. Maka tidak dipedulikan daripada kalangan yang masih berkiblat kepada rujukan penjajah, walaupun sudah dikatakan berada dalam negara yang merdeka dan berdaulat, tetapi otak dan rohnya masih dibelenggu penjajahan.
Wajib seorang Islam merungkai ikatan yang disimpulkan oleh penjajah bagi mengekang kuasa Islam dalam Perlembagaan itu, bahkan kalau ada rantainya wajib diputuskan dan kalau ada tembok juga wajib dirobohkan.
Tidakkah raja dan rakyat bersatu menentang penjajah, tanpa dinafikan adanya di kalangan raja dan rakyat yang khianat. Kalau masih ada saki baki pengkhianat warisan zaman penjajahan, maka mestilah dihapuskan.
Kita menyaksikan konsep “The Rule of Law” (kedaulatan undang-undang) yang dinobat dan diuar-uarkan dengan bangga dan megah, dikatakan berpacak di atas Perlembagaan yang diciptanya. Namun kadang-kadang bukan diambil kira pun kerana ada kepentingan masing-masing.
Pelbagai undang-undang digubal dan diluluskan daripada pokok perlembagaan. Slogan yang dilaungkan oleh orang-orang Greece purbakala di zaman jahiliyah “vox populi, vox dei” (suara rakyat adalah suara Tuhan), walaupun majoriti rakyat itu bodoh dan diperbodohkan.
Ada pula raja yang berpaut dengan slogan yang disadurkan dengan agama, katanya “Raja adalah bayangan Allah yang menaungi rakyat dengan bayangan Allah itu”. Maka ada pula yang berlagak seperti Tuhan yang disembah.
Ada pula yang melakarkan ungkapan “Rule of Law”. Katanya:
• Pengertian “Rule of Law” adalah supremasi hukum atau superioriti hukum yang mutlak dan bertentangan dengan pengaruh kekuasaan yang sewenang-wenang, dan mencabut hak prerogatif atau bahkan kekuasaan bertindak yang besar di pihak pemerintah.

• “Rule of Law” adalah doktrin hukum yang muncul pada abad ke-19, seiring dengan negara konstitusi dan demokrasi.
• “Rule of Law” adalah konsep tentang “common law” iaitu seluruh aspek negara menjunjung tinggi supremasi hukum yang dibangun di atas prinsip keadilan dan egalitarian.
• “Rule of Law” adalah “rule by the law”, bukan “rule by the man”.
• “Rule of Law” adalah diawali dari adanya gagasan untuk melakukan pembatasan kekuasaan pemerintahan negara.
• “Rule of Law” yang diertikan sebagai ‘kekuasaan sebuah hukum’ merupakan tradisi hukum Barat yang mengutamakan prinsip “equality before law”.
• Dikatakan pula bahawa, pada hakikatnya “Rule of Law” adalah memposisikan hukum sebagai landasan bertindak dari seluruh elemen bangsa dalam sebuah negara.

Semuanya cakap kosong, kalau tidak beriman dan budiman. Jadilah tujuannya mahu menetapkan kedudukan masing-masing tanpa peduli rakyat, bahkan rakyat dikastakan mengikut kuasa sewenang-wenang dan harta negeri atau negara dianggap miliknya.
Maka kedudukan dalam kerajaan dikira peluang untuk membolot apa sahaja harta negara, bukannya memikul amanah sebenarnya yang ditakuti oleh langit, bumi dan gunung ganang, tetapi manusia bersedia memikulnya.
Firman Allah:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا (72)
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab (yang dinamakan) amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. (Surah Al-Ahzaab: 72)
Maksud amanah itu adalah melaksanakan hukum Allah dengan istiqamah supaya berlaku adil kepada semua.
Allah memilih daripada kalangan manusia sebagai contoh yang benar-benar mampu memikul amanah itu melalui firmanNya dengan menyatakan modelnya:
إِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ(124)
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Baqarah: 124)
Namun hari ini, bukan Nabi Ibrahim A.S. dijadikan contoh, tetapi penentang Nabi yang diambil menjadi guru dan teladan, termasuklah petunjuk yang dimasukkan oleh penjajah yang datang dari kanan atau kiri yang diizinkan oleh penjajah, asalkan Islam jangan diberi tempat. Bahkan ada yang lebih suka menjadi syaitan bisu dengan pelbagai dalih yang bukan dalil.
Tegakkan Islam demi keredhaan Allah walaupun dimarahi oleh seluruh manusia, kerana percayakan kepada Allah yang Maha Suci daripada sifat kekurangan, yang sebenar-benarnya wajib bersifat adil secara mutlak dan menyeluruh. Maka muliakan Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan, sepatutnya undang-undang yang ditulis wajiblah Maha Tinggi, mengatasi Raja dan Perdana Menteri mahupun Presiden.
Allah berfirman:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (26)
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah Aali ‘Imraan: 26)
Islam tidak mengharamkan dan menghalalkan perkataan monarki, republik, demokrasi dan pelbagai istilah lain yang tidak disebut di dalam Al-Quran, tetapi yang lebih diutamakan adalah menegakkan konsep keadilan dan menentang kezaliman, memperhambakan diri kepada Allah dengan prinsip iman dan konsep taqwa, dan menegaskan hanya Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar boleh menjamin berlaku keadilan yang sebenar. Semua yang memerintah walau apa nama dan gelarannya akan dipanggil mengadap Allah.
Islam melaknat sekeras-kerasnya mereka yang berlagak kuasa seperti Tuhan yang Maha Tinggi terhadap rakyat dan harta negara sama ada seorang raja seperti Firaun atau seorang Perdana Menteri seperti Haman, atau kumpulan pemimpin yang dinamakan Al-Malaak walaupun di atas nama demokrasi, termasuk kumpulan agamawan para ulama’, paderi, sami dan sebagainya kalau menyalahgunakan kuasa di atas nama agama yang disebutkan teokrasi.
Rasulullah S.A.W. yang dijadikan contoh tidak menyalahgunakan kuasanya sebagai pemimpin negara dan mengajar raja-raja dan pemimpin Islam mengikut contohnya. 

Raja Oman dan Raja Habsyah yang menerima Islam dikekalkan di atas takhtanya. Raja Kaisar Rom dan Raja Kisra Parsi yang melampau zalim terhadap rakyatnya ditentang sehingga jatuh, walaupun namanya kuasa besar dunia.

Sebelum kewafatan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan uzur, datang ke masjid dan menyampaikan khutbah, Nabi S.A.W. bersabda:

فَمَنْ كُنْتُ جَلَدْتُ لَهُ ظَهْرًا فَهَذَا ظَهْرِي فَلْيَسْتَقِدْ مِنْهُ، أَلا وَمَنْ كُنْتُ شَتَمْتُ لَهُ عِرْضًا فَهَذَا عِرْضِي فَلْيَسْتَقِدْ مِنْهُ
“Sesiapa yang aku sebat belakangnya, ini belakangku sila lakukan balasannya (sebatkan aku) dan sesiapa yang aku pernah mengaibkannya, ini diriku dan balaslah terhadapku”.
Tiba-tiba ada seorang yang berkata: “Wahai Rasulullah saya ada hak yang masih ada kepadamu sebanyak tiga dirham”. Rasulullah mengarahkan Fadl bin Abbas (saudara sepupunya) supaya menjelaskan bayarannya. (Riwayat At-Thabrani)
Demikianlah Rasulullah S.A.W. pemimpin yang dilantik Allah secara langsung tidak berlagak seperti Tuhan yang disembah sehingga menjadikan rakyatnya hamba abdi dan harta negara seperti milik peribadinya.
Khalifah Abu Bakar R.A. menyampaikan ucapan setelah dilantik menjadi ketua negara, antaranya menegaskan:
‘’Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Sekiranya aku tidak mentaati Allah dan Rasul maka jangan taat kepadaku’’.
Banyak lagi bukti sejarah Islam meletakkan ketua negaranya sama ada yang bergelar raja, khalifah, imam atau amir tidak berkuasa mutlak dan berada di bawah kuasa undang-undang, menolak dengan tegas konsep adanya seseorang atau kumpulan yang mengatasi undang-undang negara.
Allah berfirman kepada Nabi Daud A.S. yang ditabalkan menjadi Khalifah:
يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن (26) سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ
“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu Khalifah (ketua negara) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan hukum yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu”. (Surah Sad: 26)
Perintah yang sama juga kepada puteranya Nabi Sulaiman A.S. yang ditabalkan menjadi raja yang memerintah dunia manusia, jin dan binatang secara mukjizat.
Jelas menunjukkan Allah menegaskan bahawa ketua negara berada di bawah kuasa undang-undang walaupun seorang rasul yang dilantik oleh Allah secara langsung, apatah lagi yang dilantik sesama manusia.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS 
Bertarikh: 24 Syaaban 1440 / 30 April 2019 - HARAKAHDAILY 30/4/2019


Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails