Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, pihaknya berasa hairan bagaimana projek itu boleh diluluskan di sebalik kebimbangan berhubung kos yang tinggi serta kesannya terhadap sosial dan alam sekitar serta nasib nelayan yang bakal terjejas dengan projek tersebut.
Malah, kata beliau, pihaknya juga tertanya-tanya bagaimana projek itu diluluskan sedangkan kosnya serta kos projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang terlalu tinggi iaitu jauh lebih mahal berbanding Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Katanya, secara perbandingan, kos pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) iaitu komponen projek PIP menelan belanja RM400 juta bagi setiap kilometer berbanding hanya RM68 juta bagi setiap kilometer projek ECRL.
“Kos yang sangat besar bagi projek tambak laut dan PIP Pulau Pinang adalah luar biasa dan bagaimana kelulusan boleh diberikan kepada projek dengan kos sedemikian adalah sesuatu yang sukar diduga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, ekoran kelulusan itu juga, pihaknya tidak pasti bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneliti dan memberi maklum balas kepada sekian banyak bantahan serta kebimbangan yang disuarakan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung projek tersebut.
“Sehubungan itu, kita mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendedahkan kepada umum 18 nasihat yang ditetapkan oleh MPFN supaya orang ramai dapat memahami situasi sebenar kelulusan yang diberikan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan MPFN telah menimbang dan bersetuju dengan rancangan kerajaan negeri menambak laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Teluk Kumbar di sini yang merupakan sebahagian daripada projek PIP bernilai RM46 bilion.
Menurut Kon Yeow, persetujuan pelaksanaan itu diberikan dengan mematuhi 18 nasihat ditetapkan MPFN yang dijangka diperincikan beliau esok. - UTUSAN ONLINE