Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, adalah tidak tepat untuk mendakwa polemik perkauman yang berlaku disebabkan sekolah aliran Cina dan Tamil sedangkan institusi pendidikan itu sudah lama wujud di negara ini.
Tuan Ibrahim berkata, Pas tidak ada masalah dengan sekolah vernakular selagi ia mengikut dasar pendidikan kebangsaan walaupun menggunakan bahasa pengantar sendiri.
“Kita hormati selagi sekolah vernakular mengikut dasar pendidikan kebangsaan dan inilah pendirian Pas, kalau nak kata sekolah ini timbulkan polemik perkauman tak boleh juga.
“Kita ada banyak lagi faktor polarisasi kaum kerana kita warisi apa yang ditinggalkan penjajah, orang Cina ada kawasan dia, orang Melayu ada kawasan dia, tidak ada pencampuran ditambah isu bahasa menyebabkan kita walaupun lebih 60 tahun merdeka masih bermasalah, termasuklah juga parti-parti berasaskan perkauman,”katanya selepas menyampaikan kuliah di hadapan Bangunan Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman dalam sesi soal jawab Sidang DUN Pahang pada Selasa lalu yang dilaporkan berkata, sekolah vernakular telah merosakkan perpaduan kaum dalam negara.
Semalam, UMNO melalui Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa kenyataan Mohd Fadil tersebut adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan sama sekali dasar dan pendirian parti yang mengiktiraf kedudukan sekolah vernakular sebagai sesuatu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, satu formula perlu dicari untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini dengan meletakkan rasa hormat sebagai asas utama.
“Pas tolak pandangan ADUN tersebut walaupun hasrat beliau positif tetapi (sekolah vernakular) bukanlah faktor.
“Kita hendaklah secara jujur anggap negara ini perlu cari formula, letak asas penghormatan, contoh di Kelantan sewaktu Peristiwa 13 Mei (perbalahan) tidak berlaku walaupun ada penduduk bukan Islam kerana sikap saling hormat dan toleransi yang tinggi,” katanya. - UTUSAN ONLINE