Berikut data keputusan tidak rasmi yang diperolehi daripada lima badan tinjauan tersebut melalui hitung cepat:
Litbang Kompas
01. Jokowi-Ma’ruf: 54.68 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 45.32 peratus
Data terkumpul: 61.3 peratus undi
Indo Barometer
01. Jokowi-Ma’ruf: 52.76 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 47.24 peratus
Data terkumpul: 61.42 peratus undi
LSI Denny JA
01. Jokowi-Ma’ruf: 54.74 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 45.26 peratus
Data terkumpul: 82.65 peratus undi
Konsepindo
01. Jokowi-Ma’ruf: 53.67 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 46.33 peratus
Data terkumpul: 57.75 peratus undi
CSIS-Cyrus
01. Jokowi-Ma’ruf: 55.7 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 44.3 peratus
Data terkumpul: 78.1 peratus undi (Utusan Online)

Kemuncak pesta demokrasi Indonsia
  
DETIK pencoblosan Pemilu 2019 pada tanggal 17 April telah pun tiba.
Buat pertama kalinya Indonesia melaksanakan Pemilihan Umum Legislatif (Pileg) secara serentak dengan Pemilihan Presiden (Pilpres), melibatkan lebih 190 juta pengundi di seluruh negara.
Kehangatan pertandingan Pilpres di antara Jokowi dan Prabowo bagaikan buku bertemu ruas dan seumpama perlawanan ulangan (rematch) pada tahun ini menyebabkan tumpuan terhadap Pileg di seluruh provinsi dan daerah Indonesia sedikit tenggelam.
Malah Pemilu kali ini berlangsung dalam keadaan ekonomi Indonesia terus berhadapan dengan tekanan inflasi dan peluang pekerjaan yang terhad, di samping 'keterbelahan' sosial dan agama yang semakin menebal di kalangan rakyatnya.
Di samping itu, timbul keraguan terhadap kemampuan Komisi Pemilihan Umum (KPU) untuk mengendalikan Pemilu secara serentak pada tahun ini, khususnya dalam urusan daftar pemilih tetap (DPT) yang menimbulkan kontroversi serta cabaran logistik pengundian di negara kepulauan dan pergunungan ini.
Menariknya kedua-dua pasangan calon (Paslon) yang bertanding dalam Pilpres 2019 mendakwa paling direstui oleh kelompok ulama'. Paslon Prabowo-Sandiago Uno mengaku didukung oleh ijtimak ulama manakala Paslon Jokowi-Ma'ruf Amin mendakwa didukung oleh ijtihad politik Munas Alim Ulama.
Perbezaan wadah dan pendekatan yang diambil oleh kedua-dua calon Pilpres ini melambangkan kerencaman budaya dan pemikiran di Indonesia yang penuh warna-warni di antara kelompok nasionalis, pragmatis, fundamentalis dan modernis yang menjadikannya hangat dan unik.
Dalam hal ini, banyak yang boleh dipelajari oleh kita di Malaysia daripada kelangsungan pesta demokrasi terbesar di Indonesia.
Pertamanya, kebebasan media dan keterbukaan untuk berkempen. Media memainkan peranan yang sangat penting dalam menghidupkan budaya demokrasi di kalangan rakyat dan generasi muda di Indonesia.
Malah kebebasan media perdana dan kerancakan media sosial membolehkan setiap calon dan parti yang bertanding dapat mengemukakan visi dan misi yang diperjuangkan untuk dinilai oleh para pengundi. Debat calon Presiden yang disiarkan secara langsung juga merupakan kebiasaan yang sudah menjadi kewajipan untuk menghidupkan budaya demokrasi dan politik matang di Indonesia.
Di samping itu, pengisytiharan tarikh Pemilu yang ditetapkan lebih awal dan tidak dirahsiakan daripada pengetahuan umum membolehkan setiap parti mendapat peluang persiapan yang saksama (equalopportunity).
Situasi ini ternyata berbeza di Malaysia apabila hanya Perdana Menteri dan parti pemerintah sahaja (incumbent) yang mengetahui tarikh Parlimen akan dibubarkan. Amalan ini jelas menafikan peluang yang saksama kepada parti pembangkang untuk membuat persiapan jentera, kempen dan kewangan bagi menghadapi pilihan raya yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Kesimpulannya terdapat banyak penanda aras dalam Pemilu Indonesia yang boleh dijadikan rujukan kepada kita untuk meningkatkan tahap partisipasi politik, kematangan demokrasi dan ketelusan proses pilihan raya di Malaysia.
Lebih penting daripada itu adalah bagaimana Malaysia boleh belajar daripada Indonesia untuk memulihkan penyatuan rakyat bermasyarakat majmuk dalam negara, setelah melalui suasana pertembungan ideologi dan keterbelahan sosial sepanjang tempoh pilihan raya.
SYAHIR SULAIMAN
Jawa Tengah

17 April 2019 – HARAKAHDAIY 17/4/2019
pemilu3

pemilu2
Presiden PAS tinjau Pemilu Indonesia

KL: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meninjau perjalanan Pemilu Indonesia di Provinsi Jawa Tengah, hari ini.
“Hari ini saya meninjau perjalanan Pemilu Indonesia di Provinsi Jawa Tengah,” ujar beliau menerusi laman Facebook.
Menurutnya, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada kebebasan media dan suasana berkempen bagi Pemilu dan Pilpres yang diadakan serentak melibatkan lebih 190 juta pengundi dan 809,500 tempat mengundi.
“Saya turut melawat Masjid Agung Jawa Tengah dan Masjid Agung Demak, bagi mengenang jasa ulama dan sultan yang berganding bahu memperjuangkan Islam dan menentang penjajah,” ujarnya yang juga Ahi Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 17/4/2019