Mangsa terpaksa menanggung beban hutang sebanyak RM30,000 gara-gara hanya meminjam RM3,000 pada mulanya daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long itu.
Malah kehidupan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Harun, 33, serta keluarga tidak aman apabila diburu lima ah long itu yang menuntut wang yang dipinjam sejak 2015.
Menurut Harun, kisah malang itu bermula apabila dia kesempitan wang untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri terpaksa meminjam dengan ah long atas nasihat seorang rakannya.
"Pada awalnya, saya hanya ingin `survey' tempat pinjaman wang di Ulu Tiram, namun syarat dan terma yang ditawarkan tidak susah, permohonan saya diluluskan selepas saya mengisi beberapa borang serta maklumat peribadi sebagai rujukan pihaknya.
"Bagaimanapun agensi itu memegang kad bank saya dan mengatakan setiap kali gaji masuk, hutang akan ditolak dari situ selain diberitahu perjanjian bayaran balik adalah selama setahun pada kadar bunga lima peratus sebulan, manakala bayaran balik sebanyak RM600 sebulan," katanya.
Harun berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat aduan ke Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, di Taman Maju Jaya, di sini hari ini.
Tanpa berfikir panjang, Harun terus bersetuju untuk membuat pinjaman dengan agensi terbabit sebelum dia terbeban terpaksa menanggung hutang termasuk sewa rumah, kereta dan perbelanjaan bulanan.
Jelasnya, beban hutang itu memaksa dia membuat pinjaman dengan empat ah long berlainan sehingga menjerat dirinya dengan hutang mencecah RM30,000. - UTUSAN ONLINE
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengapa along atau lintah darat itu masih berleluasa seolah-olah tiada pihak berkuasa atau kerajaan memantaunya?