Friday, August 17, 2018

Feqah Waqie' (realiti) -Presiden PAS.




SEGALA puji bagi Allah Pencipta Alam, Tuhan Maha Esa, tiada sekutu baginya dan tiada bandingan sepertinya. Dizikirkan dengan nama-nama paling indah, bersifat paling terpuji, maha suci daripada kekurangan dan kelemahan. Pujiannya diulangi oleh penganut Islam di setiap solatnya yang wajib dan sunat pada bila-bila masa sahaja.


Allah bukan sahaja mencipta alam semesta, bahkan Allah juga menetapkan peraturan dan undang-undang berkonsepkan Islam yang teguh dan anjal (fleksibel) kepada semua makhluknya, kerana ada perkara yang tetap tidak berubah dan ada perkara yang berubah disebabkan undang-undang dan sistem mengikut perbezaan sifat makhluknya dalam aspek yang mengalami perubahan.

Perkara yang tetap tidak berubah mengikut fitrahnya (naluri). Adapun yang mengalami perubahan itu ditetapkan juga hukum syariat yang menjadi sempadan yang tidak merosakkannya. Sekiranya melampaui sempadan dan mengadakan undang-undang sendiri di luar kemampuan akalnya, nescaya terjerumus ke dalam kebinasaan. Firman Allah:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41(
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

Islam sahaja petunjuk yang sempurna, konsisten dan saksama, meliputi aspek kejadian manusia dalam perkara fitrah yang tidak berubah dan menetapkan sempadan yang tepat dalam aspek yang mengalami perubahan dalam setiap perkembangan kehidupan manusia. 

Semua agama atau ideologi lain tidak sempurna secara menyeluruh atau tidak saksama untuk memenuhi hak jasad, roh, individu, keluarga, masyarakat dan alam sekeliling yang nyata dan ghaib dan tidak meliputi wawasannya daripada dunia sehingga akhirat.

Kejadian alam mempunyai dua keadaan;
  1. Perkara fitrah (naluri) yang tidak berubah, disebut Thawabit
  2. Perkara yang mengalami perubahan, disebut Mutaghayyirat.
Kesempurnaan Islam khusus bagi makhluk manusia yang ditugaskan kewajipan ibadat, khilafah dan amanah serta diberi petunjuk dalam semua aspek tersebut. Ajaran Islam yang menjadi petunjuk itu hendaklah dikaji secara faham yang disebut Feqh atau Tafaqquh.

Al-Mawardi tokoh besar di kalangan ulama Mazhab Syafie menyebut salah satu syarat kepimpinan Islam yang mampu melaksanakan pemerintahan Islam yang adil hendaklah berilmu dalam hukum dan nawazil.

Maksud nawazil itu ialah waqie’ atau realiti atau fakta, yakni perkara yang benar-benar berlaku dalam masyarakat, khususnya yang berkait dengan perkara yang mengalami perubahan apabila berlainan zaman dan situasi, sama ada zaman yang berbeza atau daerah yang berbeza jarak jauhnya di antara satu sama lain, serta berlainan kefahaman manusia dan kemampuan.

Islam ciptaan Allah, Pencipta Alam (Rabb Al- ‘Aalamin) yang Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana dan Adil, berfirman dengan petunjuk Al-Quran, serta Sunnah 
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ (89(
“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah (petunjuk), serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam”. (Surah An-Nahl: 89)
Rasulullah S.A.W bukan sahaja menyampaikan bacaan Al-Quran yang diwahyukan kepadanya, bahkan Baginda Nabi S.A.W juga menunjukkan bagaimana Al-Quran itu diamalkan dalam seluruh kehidupan manusia yang disebut Hadis atau Sunnah yang juga dipelihara ilmunya dengan benar, amanah dan bijaksana yang dikawal oleh wahyu. Apabila tidak ada wahyu berkenaannya, menandakan keizinan Allah dalam perkara dalam jangkauan kemampuan manusia. 
Kesempurnaan Islam itu meliputi urusan dunia dan akhirat yang ditegaskan secara nas qati’e yang tidak berubah dalam perkara rukun Islam, Iman dan akhlak yang menjadi dasar, termasuk perkara wajib, halal, haram dan beberapa hukum yang ditegaskan dalam perkara yang tidak mampu dicapai oleh ilmu manusia yang tetap ada kelemahannya.
Disamping itu, ada ruang pelaksanaan yang mampu ditunaikan oleh manusia termasuk dalam keadaan darurat (terpaksa), sehingga dihalalkan perkara yang haram dengan kadar sempadannya, mengikut keperluan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta yang nyata bersifat rahmat dan adil.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (172) إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (173(
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya berabdikan diri kepada-Nya. (172) Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (173)” (Surah Al-Baqarah: 172-173)
Sains terkini menerima hakikat perkara yang wajib pasti membawa manfaat kepada jasad, roh dan masyarakat, manakala perkara yang diharamkan pula pasti membawa mudarat dalam semua perkara tersebut.
Di antara perkara yang menarik dalam pelaksanaan Islam ialah Feqah Waqie’ (realiti) dalam aspek yang berkait dengan perubahan zaman, masyarakat dan tempat, melalui kefahaman terhadap sebab-sebab turunnya ayat-ayat yang diwahyukan atau hadis yang diucap dan diamalkan, atau ada juga dengan ijtihad (kajian mereka yang berkeahlian ilmu dan terpelihara akhlaknya).
Contohnya dalam aspek sistem pemerintahan Khalifah Abu Bakar R.A melaksanakan konsep Islam mendahului demokrasi barat dengan memperkenalkan cara pemilihan pemimpin.
Ketika itu para sahabat dapat menangani mesyuarat pemilihan ketua negara selepas kewafatan Rasulullah S.A.W dengan menjelaskan Maqasid Syariah dan Siyasah Syar’iyyah dalam memilih pemimpin utama bukan sahaja syarat ilmu dan akhlak dan kemampuan menunaikan hak rakyat melalui pemilihan pemimpin tersebut, bahkan dimasukkan juga syarat Kabilah Quraisy yang bermaksud bangsa yang dominan dalam negara itu yang berubah mengikut bangsa penganut Islam yang paling berpengaruh.
Selain itu, Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A menganjurkan Solat Sunat Tarawih berjamaah dua puluh rakaat berimamkan Ubai bin Kaab R.A (qari paling tersohor di zamannya).
Khalifah Umar juga mengambil contoh sistem Rom dan Parsi dalam pentadbiran dan sistem kewangan negara dalam memberi imbuhan (gaji) kepada jentera kerajaan mengikut sifat keistimewaan dan peranannya. Termasuk juga mengadakan percukaian dinamakan Kharaj kepada tanah terhadap bukan Islam, di samping zakat pertanian kepada penganut Islam. Begitu juga ‘Usyur (cukai perniagaan) kepada bukan Islam, di samping zakat perniagaan dan harta terhadap penganut Islam berkonsepkan nisab terhadap mereka yang berada (kaya) sahaja.
Dalam aspek yang berhubung dengan ibadat, Khalifah Uthman bin Affan R.A memerintahkan supaya diazankan dua kali pada Hari Jumaat, kerana menghadapi masyarakat Islam di zamannya yang lemah semangat keagamaannya yang seringkali lambat datang ke masjid bersembahyang Jumaat. Berbeza di zaman Rasulullah S.A.W, Khalifah Abu Bakar dan Umar R.A, azannya sekali sahaja. 
Saidina Uthman R.A juga mengarahkan supaya dikumpulkan Al-Quran secara bertulis dalam satu kitab (mushaf) yang disusun rapi demi memeliharannya, bukan sahaja bergantung kepada hafazan. Beliau juga mengarahkan supaya mengambil sahaja unta yang sesat yang tidak diketahui tuannya, walaupun Hadis Rasulullah S.A.W hanya kepada kambing yang lemah dan melarang mengambil unta yang besar dan kuat, tetapi disebabkan manusia di zamannya mengalami kelemahan akhlak beragama.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz R.A mengenakan cukai Khumus (satu perlima) daripada hasil laut, berpandukan Khumus Rikaz (penemuan barang lama yang tidak bertuan).
Khalifah Abdul Malik bin Marwan pula mengarahkan supaya diadakan mata wang kepada negara Islam dan membatalkan penggunaan mata wang Rom dan Parsi.
Amir Saif Al-Daulah Al-Hamadani di zaman Abbasiyah memperkenalkan muamalah menggunakan cek bagi bayaran tanpa menggunakan matawang bagi memudahkan urusan pembayaran.
Sejarah juga melaporkan ijtihad para ulama mazhab Syafie yang berdakwah di Nusantara, menerima penganut agama Hindu dan Buddha menjadi ahli zimmah (warganegara dalam negara Islam) dengan melaksanakan hukum mazhab Hanafi dan Maliki berdasarkan Maqasid Syariah dalam aspek Islam adalah dakwah kepada semua manusia dan adil terhadap semua.
Ulama dalam satu mazhab seperti Imam Al-Mawardi bermazhab Syafie berbeza pendapat dengan Imam Al-Haramain Al-Juwaini juga bermazhab Syafie dalam beberapa perkara yang berkait dalam aspek politik Islam kerana mereka berada dalam negeri dan daerah yang berbeza masyarakat dan zamannya.
Perubahan ini adalah pelaksanaan Feqah Waqie’ yang dihayati oleh para ulama yang mendalami ilmunya yang berbeza dengan istilah Ortodok dan Protestan dalam agama Kristian atau Konservatif dan Liberal dalam teori barat. Maka memasukkan istilah barat terhadap Islam adalah pendekatan yang salah atau sesat daripada Islam yang sebenar.
Kenyataan sejarah membuktikan para ulama generasi sahabat dan tabien selepasnya yang belajar dalam satu madrasah dan guru yang sama berkonsepkan tafaquh, sebagaimana disebut dalam firman Allah:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ (122(
“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berdakwah dan berjihad); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu bertafaqquh (mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam Agama Islam), dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” (Surah At-Taubah: 122)
Para ulama tersebut tegas beristiqamah bersepakat tidak berubah dalam perkara dasar, rukun dan nas yang ditetapkan, namun mereka berkhilaf (berbeza pendapat) dalam perkara furu’ (cabang) dan perkara yang mengalami perbezaan pendapat daripada nas yang bersifat umum atau mengikut waqie’ atau realiti semasa.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 4 Zulhijjah 1439 / 16 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 16/8/2018

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

5 comments:

Anonymous said...

Terima kasih Pak ibnu teruskan usaha ini..biar kita tengok puak2 munafiqun terus menyerang hingga unconscious...itulah yang membezakan kita dan pandangan ahli touhgut dan jumud.asabiyah dan lharoo ..


ISLAM IS THE WAY OF LIFE

Anonymous said...

bc juga ingat nk cari fatwa hadi bab undi mca.. tkde pulak. komen walaun 8.55 adalah prototype walaun...tkperlu jwb la. kosong

antilebaikulub said...

bARUA ANTI iSLAM ITU NAK KOMEN APA?
MEREKA TU DALAM BLOG NI, JAHIL MURAKKAB.
APA MAKNA JAHIL MURAKKAB?
PI TANYA LEBAI KULUB LGE KAMU..

ho ho ho

Anonymous said...

Hadi awang copy paste je kejenya

Anonymous said...

Dulu PAS for all, skrg PAS for UMNO and MCA. Haaaaaaaaa tepuk

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails