Saturday, August 09, 2014

Sikap Politik Ustaz A/Hadi: Kami Bersamamu Ayah Chik

DR AZMAN IBRAHIM


SAAT selesai kuliah pagi Jumaat semalam 8 Ogos 2014, sebagaimana temujanji yang telah diatur, Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu membuat kunjungan hormat kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertempat di kediaman Tok Guru di Rusila.

Tok Guru yang melangkah keluar dari masjid usai menyampaikan kuliah ditunggu di kiri dan kanan jalan oleh jemaah yang nampaknya merindui susuk tubuh ulama haraki ini.

Sebaik sahaja memasuki kediamannya, Tuan Haji Zaihan, Setiausaha Sulit Tok Guru memaklumkan, Tok Guru nak berbaring dan berehat seketika. Mungkin terlalu keletihan dan belum sihat sepenuhnya.

Saya kata, "Tak apalah... kalau Ayah Chik keletihan, kami datang semula. Berikan peluang Ayah Chik berehat."

Ternyata rehat Ayah Chik tak lama. Lebih kurang 10 minit, rombongan kami dijemput masuk. Ketika bersalaman dan mencium tangannya, saya memaklumkan, kami dari Lujnah Kebajikan PAS Negeri. Tok Guru sambut dengan wajah keletihan tapi tetap ceria dan bersemangat.

"Terima kasih datang ziarah saya. Semalam Ustaz Abu Bakar Abdullah mari. Saya ingat masih dia Ketua Kebajikan."

Setelah lebih kurang setahun saya mengambil alih tanggungjawab sebagai Ketua Kebajikan Negeri dari pimpinan sebelum ini Cikgu Haji Husin Ismail dan sebelumnya dipimpin oleh Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah, inilah kali pertama Jawatankuasa baru Lujnah Kebajikan membuat kunjungan hormat kepada Tok Guru.

Di sebalik segala kepanasan suhu politik dan isu yang sedang hangat berlegar, Tok Guru tetap tenang dan ceria. Jiwa besar seorang pejuang yang penuh teruji tak mudah goyah dengan badai yang melanda.

Dalam kesempatan yang singkat, pelbagai isu yang sempat kami kutip mutiara pandangannya. Bermula dari isu Palestin, isu Syria, isu Yaman dan Iraq serta bagaimana perancangan kuasa barat untuk memencilkan Palestin dihuraikan oleh Tok Guru.

Sepatah saya bertanya, "Pada pandangan Ayah Chik apakah Erdogan akan hantar bekalan kepada penduduk Gaza dengan kapal laut yang diiringi kapal perang sebagaimana yang dicanangkan?"

"Itu hanya kenyataan untuk kempen pilihanraya. Turki terikat dengan komitmen Nato. Dia tak akan dapat buat..."

"Bila Mahmud Abbas dan Hamas bersatu kerana krisis yang sedang berlaku ini, kuasa barat marah. Dia nak tengok orang berpecah. Bila orang Islam berpecah, mereka suka. Ni perangai Amerika."

"Orang barat boleh sokong siapa saja tak kira sunni, syiah atau komunis. Yang penting mereka boleh jaga kepentingan mereka dan boleh kaut hasil dari bumi Ummat Islam."

Mengakhiri pertemuan saya maklumkan, "Kami datang untuk menyatakan rasa kebersamaan di belakang Ayah Chik dan menyokong apa sahaja langkah yang Ayah Chik ambik demi kebaikan parti. Kami cukup yakin Ayah Chik akan buat yang terbaik untuk Islam."

Tok Guru tersenyum lebar, "Ya! Ya! Majlis Syura dah buat ketetapan..." Kata Tok Guru mengakhiri pertemuan. - HARAKAHDAILY 9/8/2014


Lihat ini
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails