Monday, August 04, 2014

Pakatan Rakyat Johor Bantah Kenaikan Tol Di KIK


Pakatan Rakyat (PR) Johor membantah kenaikan bayaran tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK)  bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru walaupun kenaikannya telah berkuatkuasa bermula dari 1 Ogos, 2014. Bantahan ini adalah berasaskan kepada perkara-perkara berikut:

1) Pertindihan Antara Konsesi Malaysian Resources Corporation (MRCB) Dalam Pembinaan Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) Dan Konsesi Plus Malaysia Berhad (Plus) Yang Mengutip Tol Di Kik Sultan Iskandar

PR Johor mendesak supaya kerajaan Persekutuan mendedahkan kepada rakyat kedua-dua perjanjian konsesi ini kerana PLUS telah mengutip tol di KIK Bangunan Sultan Iskandar sejak lebih 20 tahun lalu tanpa membina sebarang lebuh raya di antara  KIK Bangunan Sultan Iskandar dengan Lebuh Raya Utara Selatan. PLUS dianggarkan telah mengutip antara RM867 juta hingga RM1.5 bilion dalam tempoh tersebut. Jumlah ini adalah melebihi daripada kos pembinaan EDL oleh MRCB iaitu RM 977 juta termasuk pengambilan tanah kira-kira RM250 juta.

Sepatutnya pembinaan dan penyenggaraan EDL dilaksanakan oleh PLUS dengan menggunakan kutipan Tol daripada pengguna selama ini tetapi sebaliknya pembinaan EDL di laksanakan melalui konsesi penswastaan selama 34 tahun kepada MRCB Southern Link Bhd iaitu anak syarikat MRCB. Kerajaan Persekutuan kemudiannya pada tahun 2012 telah mengambilalih EDL dengan bayaran pampasan kepada MRCB sebanyak RM68 juta bagi tempoh April- Disember 2012 dan bayaran RM11 juta sebulan selama tempoh perjanjian konsesi penswastaan.
Apa yang berlaku menunjukkan bahawa rakyat telah membuat 2 kali bayaran bagi projek yang sama iaitu melalui:

a) Bayaran tol kepada PLUS selama lebih 20 tahun tanpa dibekalkan dengan lebuhraya yang menghubungkan lebuhraya Utara Selatan dengan KIK Bangunan Sultan Iskandar.

b) Bayaran pampasan RM68 juta dan RM11 sebulan sepanjang tempoh konsesi penswastaan selama 34 tahun kepada MRCB bagi kerajaan mengambilalih EDL. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 40% saham dalam MRCB manakan Lembaga Tabung Haji (LTH) memegang 20% saham dalam MRCB.

Kerajaan juga hendaklah mendedahkan kepada umum bagaimanakah jumlah pampasan pengambilalihan EDL iaitu RM68 juta dan RM11 juta sebulan selama tempoh konsesi penswastaan ditentukan kerana ianya melibatkan wang rakyat melalui KWSP dan LTH.

 2) Kenaikan Tol Adalah Untuk Membiayai Bayaran Pampasan Pengambilalihan EDL?

Bayaran Tol yang dikenakan kepada kenderaan Kelas 1 dari Malaysia ke Singapura adalah RM6.80 dibayar kepada MRCB manakala bayaran Tol bagi kenderaan dari Singapura ke Malaysia adalah RM6.80 + RM2.90 = RM 9.70 dimana RM6.80 dibayar kepada MRCB dan RM2.90 dibayar kepada PLUS. Ini menunjukkan bagi perjalanan dua hala ke Singapura pengguna terpaksa membayar tol sebanyak RM16.50 berbanding sebelum ini hanyalah RM2.90. Ini merupakan kenaikan hampir 470%. Daripada bayaran tol RM16.50, RM13.60 @ 82.42% dibayar kepada MRCB mana RM2.90 dibayar kepada PLUS.

3) Perbezaan Antara Tol Dan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP)

Terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengalihkan isu pokok kenaikan tol di KIK Bangunan Sultan Iskandar dengan kenaikan bayaran VEP yang dikenakan oleh Singapura kepada kenderaan dari Malaysia yang memasuki Singapura baru-baru ini dari SGD20 kepada SGD35.
Tol adalah bayaran yang dikenakan kepada semua kenderaan samada kenderaan Malaysia dan juga kenderaan negara asing manakala VEP adalah bayaran dikenakan kepada kenderaan asing yang masuk ke Singapura bagi tujuan mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki Singapura.

Dengan kata lain kenaikan tol akan membebankan terutamanya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura kerana hampir 70,000 kenderaan daripada Malaysia memasuki Singapura setiap hari.

Setakat ini Singapura masih mengenakan bayaran tol sebanyak SGD1.20 (RM2.90) dan Malaysia dan Singapura mempunyai perjanjian pakej tol dimana bayaran tol di Singapura adalah sama dengan bayaran tol yang dikenakan oleh Malaysia. Ini bermakna tol yang dikenakan oleh Singapura juga akan dinaikan dalam masa terdekat bersesuaian dengan kenaikan tol yang dikenakan oleh Malaysia. Ini bermakna akhirnya pemandu kereta akan menanggung tol sebanyak RM33 bagi perjalanan dua hala di KIK Bangunan Sultan Iskandar dan Woodlands CIQ.

4) Perundingan Dua Hala Dengan Singapura Berkaitan Isu-Isu Kepentingan Bersama

PR Johor mencadangkan supaya satu delegasi yang diketuai oleh Menteri Luar Negeri berunding dengan Singapura bagi mengadakan perundingan isu-isu berkepentingan bersama seperti isu kenaikan tol, isu kenaikan VEP, isu penambakan laut berhampiran sempadan Malaysia-Singapura. Kerajaan hendaklah memberikan justifikasi kepada kenaikan tol dan dalam masa yang sama kerajaan Singapura hendaklah memberikan justifikasi kenaikan VEP yang dikenakan baru-baru ini. Dengan adanya perundingan dua hala yang berkala ini akan dapat menyelesaikan banyak isu-isu berkepentingan bersama untuk kebaikan kepada kerajaan dan rakyat dikedua-dua negara.

PR Johor berharap dengan adanya perundingan dua hala ini isu kenaikan tol termasuk isu kenaikan VEP akan dapat diselesaikan dengan cara yang lebih munasabah dalam semangat kejiranan yang tinggi.

5) Implikasi Kenaikan Tol Dan Ekonomi Johor

PR Johor melahirkan kebimbangan kesan terhadap ekonomi Johor kesan daripada kenaikan tol di KIK bangunan Sultan Iskandar. Selama ini terutama apabila Dollar Singapura semakin mengukuh berbanding Ringgit Malaysia ramai rakyat Singapura datang ke Johor Bahru bagi mendapatkan barangan keperluan harian. Secara tidak langsung peniaga dan penjaja dipasar awam seperti Pasar awam Larkin dan Pasaraya termasuk kedai runcit akan mendapat keuntungan daripada kehadiran rakyat Singapura ini. Dengan kenaikan bayaran Tol bagi dua hala perjalanan RM33 maka PR Johor bimbang jumlah rakyat Singapura yang akan berbelanja di Johor Bahru akan berkurangan dan sudah tentu ianya akan menjejaskan pendapatan peniaga-peniga di Johor Bahru.

Kesimpulan

PR Johor mendesak supaya kerajaan menangguhkan segera perlaksanaan kadar tol yang baru sehingga perkara (1) dan (2) yang dibangkitkan diatas dijawab dan diselesaikan oleh kerajaan Persekutuan terlebih dahulu. PR Johor juga mendesak supaya kerajaan hendaklah sentiasa mendapatkan pandangan orang ramai serta mengadakan sessi penerangan sebelum melaksanakan sebarang polisi yang melibatkan kepentingan orang ramai.

YB Aminolhuda Hassan (PAS)     
YB Liew Chin Tong (DAP)
YB Jimmy Puah (PKR)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails