Tuesday, August 05, 2014

3 Kampung Cina Desak Khalid berundur..




Pentadbiran Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa tidak membawa aspirasi Pakatan Rakyat yang mahu mendengar pandangan rakyat bawahan. Gambar fail The Malaysian Insider. Pentadbiran Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa tidak membawa aspirasi Pakatan Rakyat yang mahu mendengar pandangan rakyat bawahan. Gambar fail The Malaysian Insider.

Desakan Khalid berundur berterusan, kini di peringkat ketua kampung

Penduduk Kampung Baru Cina kecewa dengan pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menguruskan masalah rakyat di Selangor dan meminta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail segera diangkat sebagai menteri besar baru.

Tiga ketua kampung dalam satu kenyataan hari ini berkata banyak rungutan rakyat tidak diendahkan Khalid sepanjang menjadi menteri besar.

“Gaya kepimpinan Khalid tidak langsung mencerminkan semangat yang digambarkan Pakatan Rakyat (PR) yang menjadikan rakyat sebagai rakan kongsi utama dalam pengurusan dan pentadbiran negeri.
“Khalid mempamerkan pimpinan solo yang memaksa rakyat mengikut keputusannya dan tidak mendengar pendapat rakyat bawahan,” kata Ketua Kampung Baru Pasir Penambang, Tanjung Karang Lim Eng Wan, Ketua Kampung Baru Sasaran Sungai Buloh Lee Boon Huat dan Ketua Kampung Baru Bagan Sungai Yu, Kuala Selangor Sow Eng Wan.

PKR hari ini menegaskan Khalid perlu ditukar dengan Dr Wan Azizah kerana Adun Pelabuhan Klang itu mempunyai masalah "keraguan integriti" dalam isu penyelesaian hutang dengan sebuah bank. Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata beberapa urusan perniagaan bernilai ratusan juta ringgit melibatkan kerajaan negeri dan sebuah syarikat pemaju berlaku selepas penyelesaian hutang itu dan penjelasan yang diberikan Khalid tidak memuaskan.

Katanya, Khalid turut memberi projek rumah mampu milik Selangor bernilai RM591 juta kepada syarikat sama. Perkara itu antara penjelasan bertulis PKR yang akan diberikan kepada pemimpin tertinggi PR esok bagi menguatkan cadangan pengunduran Khalid sebagai menteri besar.

Ketua kampung berkenaan berkata, antara isu yang masih belum dapat diselesaikan Khalid sejak 2008 adalah isu pemilikan tanah melibatkan 220 keluarga. Mereka berkata, usaha mengadakan pertemuan bersama Khalid sering menemui kegagalan dan tidak mendapat layanan sempurna ketika ditemui di majlis luar.

“Penduduk menuntut janji Khalid sejak Mac 2008 yang menjanjikan hak milik persendirian bagi mereka yang menduduki tanah lebih 15 tahun.
“Hampir keseluruhan 220 keluarga yang tinggal di Kampung Baru menduduki tanah lebih 50 tahun,” katanya.

Tiga ketua kampung itu juga menyelar Khalid kerana menaikkan caj perniagaan sehingga 400% yang tidak mampu ditanggung komuniti peniaga di Selangor. Mereka juga melihat tiada apa yang dilakukan Khalid dalam membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar seperti petani, penternak, nelayan, peniaga serta penjaja kecil.

“Kerajaan Selangor langsung tidak mendapatkan pandangan rakyat bila hendak menaikkan caj. Rakyat membuat bantahan keras terhadap kenaikan caj perniagaan namun sedikit pun tidak diendahkan Khalid.
“Khalid tiada kesungguhan langsung membantu golongan berpendapatan kecil dan rendah. Tiada program yang dirancang bagi membantu meningkatkan hasil pendapatan golongan ini.
"Ramai nelayan pesisir pantai pantai kecewa kerana kehidupan mereka tiada pembelaan sewajarnya,” katanya.

Mereka juga membangkitkan masalah jalan dan pengurusan sampah yang tidak memuaskan.

“Terlalu banyak jalan yang sangat sukar dilalui kenderaan biasa, sana sini berlopak dan berlubang.
“Parit dan longkang tidak diselenggara dengan baik hingga hampir semua longkang tidak mengalirkan air dengan sempurna, di sana sini tersumbat dan boleh menyumbang kepada wabak denggi.
“Rungutan kami memang remeh bagi ketua kerajaan negeri seperti Khalid tetapi bagi kami penduduk luar bandar, cukup besar dan menekan kehidupan,” kata mereka. – 4 Ogos, 2014. (TMI)


Lihat sebelum ini.. 


E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails