Tuesday, August 05, 2014

Mujahid Ketuai NGO Ahli Politik PAS/UMNO Gabung Lwn Perkauman?

Ahli Parlimen Parit Buntar akan menjadi pengerusi dibantu bekas Ahli Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah sebagai timbalannya akan memulakan gerakan memerangi masalah perkauman di Malaysia. Gambar fail The Malaysian Insider.


Ahli Parlimen Parit Buntar akan menjadi pengerusi dibantu bekas Ahli Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah sebagai timbalannya akan memulakan gerakan memerangi masalah perkauman di Malaysia. Gambar fail The Malaysian Insider.
Datuk Mujahid Rawa dan Datuk Saifuddin Abdullah, dua ahli politik PAS dan Umno membuat keputusan untuk bergabung memulakan gerakan untuk memerangi masalah perkauman di Malaysia.

Masih belum jelas sama ada parti masing-masing merestui rancangan mereka tetapi Tamrin Ghafar daripada PAS, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba sudah dijemput untuk menyertai mesyuarat pertama badan bukan kerajaan (NGO) itu minggu depan.

"Pada dasarnya kita bersetuju untuk menubuhkan NGO ini dengan Mujahid menjadi pengerusinya manakala Saifuddin menjadi timbalannya," kata Tamrin kepada The Malaysian Insider.

Tamrin berkata, beliau yakin dengan sokongan akar umbi yang kuat dalam PAS dan Umno terhadap kedua-dua pemimpin berkenaan, inisiatif itu akan membawa satu dimensi baharu kepada perpaduan antara kaum dalam negara, di mana Bumiputera membentuk 60% daripada populasi 30 juta dengan kaum minoriti Cina dan India membentuk jumlah ketara.

"Kita akan gabungkan semua pihak dalam gerakan ini termasuk PAS, Umno, MCA dan lain-lain. Kita sudah berjaya mendapat persetujuan beberapa tokoh lagi, daripada kaum Cina dan India, namun belum masanya untuk kita umumkan lagi," katanya.

NGO ini muncul kurang dua bulan selepas penubuhan Negara-ku, sebuah gabungan lebih 70 NGO yang ditubuhkan untuk memulihdan mengembalikan harapan kepada Malaysia dalam menangani ancaman kepada keamanan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Negara-ku yang diketuai Zaid Kamaruddin dengan Datuk Ambiga Sreenevasan dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said sebagai penaungnya menyasarkan rakyat Malaysia kembali kepada asas Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia dan Rukunegara.

Mengulas penubuhan NGO itu, Mujahid memberitahu The Malaysian Insider gerakan itu akan memberikan kesan besar untuk mengenepikan masalah perkauman di negara ini.

"Kami akan berusaha bekerjasama dengan badan lain yang mempunyai perjuangan sama termasuk NGO yang baru ditubuhkan Negara-Ku," katanya.

Ketika ditanya kenapa pihaknya tidak bergabung saja dengan Negara-ku, Mujahid berkata, matlamat mereka mungkin berbeza dan yakin pihaknya boleh mendapat sokongan lebih besar untuk memperjuangkan perkara ini berdasarkan “track record”.

Mujahid dikenali dengan usahanya mempromosikan dialog antara agama dengan penganut Kristian dan mengadakan siri dialog di gereja di seluruh negara. Sementara bekas Ahli Parlimen Temerloh Saifuddin kini mengetuai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang ditubuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – juga dikenali dengan pendirian sederhananya, berbeza dengan pemimpin Umno lain.

Kedua-duanya Mujahid dan Saifuddin juga terlibat dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) ditubuhkan Putrajaya. NGO ini ditubuhkan pada ketika Malaysia berdepan dengan ujian hubungan antara kaum dengan banyak masalah berkaitan agama timbul. Ini termasuk larangan penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian dan rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan isu hak penjagaan anak bagi pasangan yang menukar agama kepada Islam.

Memburukkan lagi keadaan, penghinaan antara kaum dan agama kini mula dilakukan melalui media sosial sehingga menimbulkan kemarahan sesetengah kaum dan agama. – 5 Ogos, 2014.
 
Penganut Buddha berdoa sempena hari pertama pembukaan Perayaan Hantu Lapar, di Bangsar. Penganut Buddha dan Taoist di negara Asia meraikan festival itu. Antara aktiviti sepanjang bulan perayaan itu ialah upacara menyediakan makanan secara ritual, bakar colok dan barangan daripada kertas berbentuk pakaian atau emas untuk roh nenek moyang yang datang. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 5 Ogos, 2014.  (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails