Saturday, August 09, 2014

MB: Bekas MB S'gor Mat Taib Nyatakan Sikap




Tan Sri Muhammad Muhd Taib berpendapat Tan Sri Khalid Ibrahim perlu secara 'gentleman' melepaskan jawatan menteri besar Selangor walaupun mendapat sokongan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Ogos, 2014.  
Tan Sri Muhammad Muhd Taib berpendapat Tan Sri Khalid Ibrahim perlu secara 'gentleman' melepaskan jawatan menteri besar Selangor walaupun mendapat sokongan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Ogos, 2014.  

Walaupun menerima sokongan PAS, bekas Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib berpendirian Tan Sri Khalid Ibrahim perlu melepaskan jawatannya secara berhormat.
Muhammad yang pernah memegang jawatan penting tersebut semasa bersama Umno sebelum menyertai PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas berkata, secara konvensionalnya, mana-mana pemimpin yang ditolak parti perlu melepaskan jawatan.

"Saya fikir apabila PKR membuat keputusan untuk tukarnya, beliau (Khalid) perlu patuh.
"Secara konvensyen dan persefahaman dalam satu gagasan, itulah persefahaman," kata Muhammad yang juga dikenali sebagai Mat Taib kepada The Malaysian Insider.

Kenyataan Muhammad tersebut berbeza dengan pendirian PAS yang masih bertegas menyokong Khalid sebagai MB. Beliau kemudian mempersoalkan mereka yang mempertahankan Khalid, khususnya daripada PAS sendiri seolah-olah jawatan MB yang dipegang adalah hak individu.

"Saya hendak tanya sekarang ini, apa yang istimewa tentang Khalid ini?
"Bila parti sudah buat isyarat yang jelas, apa pun alasannya, apabila parti buat keputusan, beliau perlu ‘gentleman,’ kerana ini bukan harta pusakanya, ini adalah kolektif," kata beliau.

Muhammad menyifatkan peletakan jawatan seorang MB bukan fenomena luar biasa, kerana ia menjadi amalan demokrasi mana-mana institusi.

"Jadi pada saya, meletakkan jawatan dan berhenti bukan fenomena luar biasa, ini adalah normal dalam mana-mana institusi demokrasi dalam dunia ini," kata Muhammad.

Malahan beliau sendiri dan pemimpin utama negara sebelum ini juga meletak jawatan selepas tidak menerima sokongan lagi. Muhammad merupakan MB Selangor dari 1986 hingga 1997. Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Selangor bagi penggal 1982, 1986, 1990 dan 1995.

Menurut Muhammad, ketika Tun Hussein Onn digantikan dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, konsep sama digunakan dan kemudian Tun Abdullah Ahmad Badawi juga meletak jawatan selepas menghidu tiada lagi sokongan daripada parti.

"Apabila Tun Hussein Onn meletak jawatan dan diganti Dr Mahathir, tidak kisah apa pun alasannya, beliau letakkan jawatan.
"Jadi selepas itu, apabila parti menganggap Pak Lah sudah perlu diganti, maka beliau rela menyerahkan jawatan," kata Muhammad.

Muhammad juga berkata konsep sama digunapakai dalam krisis di Terengganu baru-baru ini, Datuk Seri Ahmad Said terpaksa melepaskan jawatannya selepas tidak lagi mendapat sokongan parti.
Khalid, MB dua penggal ketika ini hilang sokongan daripada partinya sendiri dan berdepan kemungkinan disingkirkan.

Pelbagai langkah mula dijalankan bagi mendesak Khalid lepaskan jawatan, pendedahan juga dibuat oleh PKR membabitkan salahguna kuasa Khalid, terutamanya dalam penyelesaian Bank Islam.
Namun, Khalid mempertahankan diri dengan mengatakan tidak bersalah walaupun PKR mendedahkan bukti penglibatan tokoh korporat Umno dalam menyelesaikan pinjaman tersebut.

Awal tahun ini, PKR mengambil Langkah Kajang untuk menukar Khalid dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima pelbagai aduan tentang MB itu yang didakwa mentadbir negeri sesuka hatinya tanpa berunding dengan partinya, PKR atau pimpinan Pakatan. Dia juga dikritik dalam caranya menangani beberapa isu lain seperti catuan air, rampasan Bible bahasa Malaysia dan Iban oleh Jais dan Lebuhraya Kinrara-Damansara.

Anwar sepatutnya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Kajang, tetapi rancangan itu tergendala selepas Mahkamah Rayuan mendapatinya bersalah dalam kes Liwat II yang melibatkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding untuk menggantikan Anwar, menang kerusi Dewan Undangan Negeri itu dan dipersetujui PKR sebagai paling layak menduduki kerusi MB Selangor.

Bagaimanapun, Khalid bertegas dia tidak akan mengundur diri sehingga penggalnya tamat.
Isu MB Selangor juga dikatakan menjadi salah satu punca populariti PR jatuh merudum di Selangor setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) setahun selepas PRU13 mendapati sokongan kepada PR jatuh kepada 35% berbanding 50% enam bulan sebelum pilihan raya. – 9 Ogos, 2014. (TMI)
 
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   

1 comment:

Anonymous said...

taib dh tk laku. kah3x

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails