Saturday, March 22, 2014

PRK Kajang: Polis Jamin Keselamatan Pengundi

 


KAJANG: Polis memberi jaminan kawalan keselamatan pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang esok berada pada tahap tertinggi.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata orang ramai tidak perlu bimbang atau ragu-ragu untuk keluar mengundi kerana lebih 3,000 anggota polis, termasuk 800 polis trafik, telah ditempatkan untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

"Di pihak polis, kami bersedia sepenuhnya. Saya ingin memberi jaminan kepada penduduk Kajang tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kami akan membantu anda jika ada keperluan.

"Tiada perkara-perkara yang tidak diingini akan berlaku esok... kami bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas majlis Sejenak Bersama Warga Polis dan Perkep di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Shukri berkata semua kenderaan berat seperti lori dan bas tidak dibenarkan memasuki kawasan Kajang bermula 12 tengah malam ini sehingga 4 petang esok untuk mengelak kesesakan lalu lintas selain memudahkan orang ramai keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Semua kenderaan berat tidak dibenarkan masuk ke kawasan Kajang, khususnya di Bandar Kajang yang jalannya agak sempit, hanya bas awam dibenarkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri memberi amaran kepada parti bertanding agar tidak berarak untuk meraikan kemenangan selepas pengumuman keputusan rasmi dibuat esok.

"Sebarang perarakan dalam apa jua bentuk adalah tidak dibenarkan di kawasan Kajang. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menggugat ketenteraman awam," katanya.

Mohd Shukri berkata polis telah membuka tujuh kertas siasatan kerana melanggari Akta Kesalahan PIlihan Raya 1954 iaitu mengadakan ceramah tanpa permit semasa kempen PRK Dun Kajang.

"Setakat ini, PRK Kajang berjalan dengan lancar dan teratur tanpa berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya sambil menambah bahawa sepanjang 12 hari berkempen, 272 aktiviti kempen dan ceramah telah diadakan. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails