Monday, March 17, 2014

Air S'ngor: K'jaan Pusat Khianat Perjanjian. Langat 2 Tangguh?


Dr Maximus dan Abdul Khalid bersalaman selepas menandatangani MoU 26 Februari lalu sambil disaksikan Najib dan Muhyiddin.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menyifatkan keengganan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dr Maximus Ongkili menggunakan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) untuk mengambil alih syarikat konsesi air Selangor sebagai pengkhianatan kepada perjanjian bersama yang ditandatangani dengan kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Petaling jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad mengecam sikap dolak dalik menteri terbabit dan menyifatkannya sebagai "tidak boleh diterima dan mengejutkan".

Dr Maximus dalam satu kenyataannya Jumaat lalu berkata kerajaan pusat tidak akan menggunakan WSIA untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor.
Tiga syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (Splash) masih enggan menerima tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri pada harga RM9.65 bilion.
MoU berhubung penstrukturan air Selangor telah ditandatangani antara kerajaan negeri dan pusat pada 26 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan bersama dengan Menteri Besar Selangor baru-baru ini, Dr Maximus berjanji untuk memastikan kelicinan proses penstrukturan industri air Selangor termasuk menggunakan WSIA bagi memaksa syarikat konsesi menerima tawaran dikemukakan kerajaan negeri. Oleh kerana kerajaan pusat gagal menjalankan tanggung jawabnya, Pakatan Rakyat menggesa kerajaan negeri supaya menangguhkan kelulusan projek pembinaan loji rawatan air Langat 2.

“Kami akan menggesa kerajaan negeri Selangor, Exco dan Dewan Undangan Negeri untuk menangguhkan baki kelulusan yang diperlukan bagi projek Langat 2.
“Tiada keperluan undang-undang untuk kerajaan negeri memenuhi syarat dalam MoU apabila kerajaan pusat gagal menunjukkan komitmen mereka,” kata kenyataan tersebut.
Rafizi, Tony dan Dr Dzulkefly dilantik mewakili PKR, DAP dan PAS oleh Pakatan Rakyat bagi memantau proses penstrukturan industri air Selangor. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails